Keamanan, kestabilan domestik perkukuh daya tahan ekonomi Malaysia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Keamanan dan kestabilan domestik meletakkan Malaysia pada kedudukan kukuh untuk mendepani ketidaktentuan ekonomi global, termasuk perubahan tarif perdagangan dan konflik geopolitik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepimpinan dan pengurusan dasar yang stabil menyediakan asas penting untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi global.
  • Perkukuh asas ekonomi dan manfaatkan pengalaman mengurus krisis terdahulu bagi meningkatkan daya tahan ekonomi negara.
  • Merangka strategi ekonomi jangka panjang menyeluruh untuk memastikan kemampanan dan melindungi kepentingan negara daripada kejutan luar.
  • Memperkukuh kepelbagaian ekonomi, memperluas jaringan rakan dagang dan meneroka sumber pertumbuhan baru bagi mengurangkan risiko perdagangan.

Penolong Profesor Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr. Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman El-Muhammady berkata, kedudukan itu turut disokong kekuatan asas ekonomi serta pengalaman mengharungi pelbagai krisis sebelum ini.

Menurutnya, faktor-faktor itu turut mengukuhkan keyakinan pelabur asing yang kini semakin menitikberatkan aspek keselamatan, daya tahan rantaian bekalan dan kestabilan dasar, selain kos operasi serta kecekapan tenaga kerja.

“Kita agak bertuah kerana satunya adalah kepimpinan yang stabil dari segi pengurusan polisi negara. Kita sebenarnya bukan hari ini sahaja berhadapan dengan situasi ini. Beberapa puluh tahun yang lalu kita sudah berada dalam situasi yang sama, tetapi kita berjaya menghadapinya melalui keputusan yang bijaksana,” katanya selepas program Biz Malaysia di TV1.

Beliau menambah, Malaysia perlu terus merangka strategi ekonomi jangka panjang yang menyeluruh bagi memastikan kemampanan ekonomi serta kepentingan negara kekal terpelihara daripada sebarang kejutan luar.

Antara langkah yang perlu diberi tumpuan ialah memperkukuh kepelbagaian ekonomi, memperluas jaringan rakan dagang serta meneroka sumber pertumbuhan baharu bagi mengurangkan kesan perubahan tarif dan ketidaktentuan perdagangan global.

Ujarnya, pendekatan itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sektor atau pasaran, sekali gus meningkatkan ketahanan ekonomi negara.

Dalam pada itu, beliau berkata rakyat juga perlu memperkukuh kedudukan kewangan masing-masing dengan berbelanja secara berhemat serta mendahulukan keperluan berbanding kehendak bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi.

Menurutnya, langkah itu melengkapi usaha kerajaan dalam memastikan ekonomi negara dan kesejahteraan isi rumah terus terpelihara meskipun berdepan perubahan tarif serta ketidaktentuan ekonomi global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.