
KUALA LUMPUR, 8 April -Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) menyambut baik pelbagai langkah sokongan yang diumumkan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menguruskan tekanan kos yang semakin meningkat.
- PMKS tempatan berdepan cabaran akibat gangguan rangkaian global, khususnya masalah logistik dan kemasukan bahan import.
- Penyelarasan insentif atau tarif dicadangkan KUSKOP dan TNB dianggap relevan untuk mengurangkan tekanan kos PMKS.
- Perdasama syor kukuhkan ekosistem vendor Bumiputera melalui Program Pembangunan Vendor dan integrasi dengan GLC serta GLIC.
Presidennya, Mohd Azamanizam Baharon berkata PMKS tempatan ketika ini berdepan cabaran apabila rangkaian global terganggu, terutamanya melibatkan urusan logistik dan kemasukan bahan-bahan import.
Jelasnya, cadangan penyelarasan insentif atau tarif lebih bersesuaian untuk PMKS yang dibincangkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) amat relevan dalam keadaan tidak menentu ketika ini.
Sebagai langkah memperkasa daya saing perusahaan Bumiputera dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar, usaha merapatkan jurang keupayaan antara PMKS bumiputera dengan syarikat berkepentingan kerajaan juga perlu diperkukuh.
”Perdasama mencadangkan pengukuhan ekosistem melalui model kolaborasi seperti Program Pembangunan Vendor Bumiputera (VDP) agar program-program ataupun kluster yang berimpak tinggi dapat DIintegrasikan dengan kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).
Tambahnya, usaha tersebut bukan hanya menjamin daya tahan perusahaan, malah mengekalkan kelangsungan perniagaan pada tahap optimum.