Penyasaran subsidi bahan api perlu lebih menyeluruh

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Penyasaran subsidi bahan api secara bersasar perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor perbelanjaan asas wajar isi rumah, bagi memastikan dasar tersebut benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyasaran subsidi tidak wajar bergantung semata-mata pada klasifikasi pendapatan; perlu dilihat secara lebih menyeluruh.
  • Kementerian menyusun semula pendekatan penyasaran subsidi, khususnya diesel, serta melaksanakannya secara berperingkat.
  • Ketidaktentuan geopolitik menuntut langkah mitigasi berterusan; fokus pada daya tahan ekonomi domestik dan kestabilan rantaian bekalan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pendekatan berkenaan tidak wajar bergantung semata-mata kepada klasifikasi pendapatan, memandangkan tahap beban kewangan setiap isi rumah adalah berbeza.

“Seperti yang saya nyatakan minggu lepas, cabaran utama ketika ini adalah menentukan tahap atau mekanisme yang paling sesuai untuk diguna pakai dalam pelaksanaan subsidi bersasar.

“Pada pandangan Kementerian Ekonomi, perkara ini perlu dilihat secara lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada pengelasan tertentu semata-mata yang boleh menimbulkan pelbagai tafsiran.

“Ini kerana keadaan ekonomi rakyat tidak hanya dinilai berdasarkan pendapatan, sebaliknya turut melibatkan faktor perbelanjaan asas wajar dan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kerjasama Strategik Kementerian Ekonomi dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kementerian sedang menyusun semula pendekatan penyasaran subsidi, khususnya bagi diesel.

“Kerajaan menyusun pelaksanaan dasar secara berperingkat bagi memastikan setiap pelaksanaan dapat dilakukan dengan lebih teratur, susulan tekanan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Mengulas keadaan ekonomi global, katanya ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik di Timur Tengah menyebabkan kerajaan perlu terus melaksanakan langkah mitigasi dan intervensi dari semasa ke semasa.

“Selagi konflik belum selesai, beban ekonomi akan terus dipikul bersama, justeru langkah mitigasi dan intervensi perlu dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, mengulas perkembangan ekonomi dunia termasuk pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping, beliau berkata, fokus utama kementerian adalah memperkukuh daya tahan ekonomi domestik.

“Apa juga perkembangan di peringkat global ketika ini, Malaysia kekal memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi domestik dan memastikan rantaian bekalan negara terus stabil.

“Kerajaan akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan bahan api dan barangan input kekal terjamin, namun untuk mengulas lanjut mengenai perkembangan tersebut, saya tidak mahu membuat sebarang andaian awal ketika ini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.