Pasaran modal global alternatif pembiayaan syarikat Malaysia

Syarikat Malaysia boleh memanfaatkan modal asing bagi pengembangan perniagaan

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Pasaran modal global kini dilihat sebagai antara saluran strategik untuk syarikat tempatan menarik pelabur antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Syarikat yang belum memenuhi syarat penyenaraian tempatan boleh meneroka pasaran saham global sebagai alternatif pembiayaan untuk pertumbuhan.
  • Penyenaraian di luar negara menuntut komitmen tinggi dari segi ketelusan, pendedahan maklumat tepat pada masanya dan mengekalkan keyakinan pelabur.
  • Menjaga penyenaraian memerlukan model perniagaan yang mampan dan strategi komunikasi pelabur yang kukuh.

Rakan Kongsi firma penasihat pasaran modal antarabangsa, ARC Group, Paul Chong berkata, menerusi pendekatan itu, syarikat Malaysia boleh memanfaatkan modal asing bagi pengembangan perniagaan.

Syarikat Malaysia yang masih belum memenuhi syarat penyenaraian tempatan, khususnya dari segi keuntungan dan rekod prestasi, boleh meneroka peluang di pasaran saham global sebagai alternatif pembiayaan untuk meneruskan pertumbuhan.

“Pada akhirnya pasaran tempatan, pilihan pembiayaan tempatan dan pelaburan tempatan tetap menjadi keutamaan.

“Jika syarikat Malaysia layak disenaraikan di sini, mereka sudah tentu boleh mendapatkan sokongan pelabur tempatan, pengiktirafan tempatan dan menjadi nama yang dikenali serta dekat dengan pasaran tempatan.

“Menerusi persidangan ini, kami mencadangkan satu alternatif kepada syarikat yang belum layak,” katanya dalam Taklimat Forum Pasaran Modal & M&A 2026: Edisi Malaysia anjuran ARC Group di sini.

Forum tersebut menghimpunkan kira-kira 500 pemimpin kanan serta eksekutif kewangan daripada ekosistem kewangan global dan Asia Tenggara bagi membincangkan mengenai pasaran modal global, strategi pertumbuhan korporat dan aktiviti penggabungan serta pengambilalihan rentas sempadan.

Menurut beliau, penyenaraian di pasaran luar negara menuntut komitmen yang tinggi daripada syarikat, terutama dari segi ketelusan, pendedahan maklumat tepat pada masanya serta keupayaan mengekalkan keyakinan pelabur.

Usaha mengekalkan penyenaraian pula memerlukan model perniagaan yang mampan, selain strategi komunikasi pelabur yang kukuh bagi memastikan syarikat terus mendapat sokongan pasaran.