
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Langkah menurunkan kadar sewa premis perniagaan milik kerajaan mampu memperkukuh aliran tunai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam mendepani kenaikan kos input perniagaan, khususnya kenaikan harga bahan mentah.
- Perluasan inisiatif kepada sektor swasta supaya manfaat pengurangan kos dapat dinikmati lebih menyeluruh.
- Pengurangan kos tetap, khususnya bayaran sewa, penting untuk mengekalkan margin keuntungan PKS.
- Luaskan Program Jualan Rahmah MADANI termasuk 30,000 DUN dan akses jualan dalam talian untuk turunkan kos isi rumah.
Ketua Ekonomi Wawasanex, Adli Amirullah berkata, inisiatif itu wajar diperluas di peringkat swasta bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dalam usaha mendepani krisis tenaga global.
“Pada ketika krisis ini, kebanyakan PKS akan mengalami kenaikan kos input. Barang-barang yang mereka beli, contoh daripada Indonesia, Thailand akan meningkat.
“Bila kos mereka meningkat, margin keuntungan mereka juga akan mengecil. Jadi, antara inisiatif yang baik sebenarnya adalah untuk membantu mengurangkan kos-kos tetap PKS dan antaranya adalah bayaran sewa,” katanya kepada pemberita RTM.
Tambah beliau, peluasan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) kepada 30,000 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga mampu membantu pengguna dan isi rumah untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih berpatutan.
Namun, pelaksanaan inisiatif tersebut perlu ditambah baik dengan memperluas akses kepada platform pembelian dalam talian bagi memudahkan rakyat membeli barangan keperluan.
“Mungkin juga inisiatif ini boleh dilanjutkan untuk memberikan juga ruang ataupun peluang kepada penjualan dalam talian. Mungkin kita boleh menggalakkan atau membantu mereka yang membeli barang-barang keperluan melalui dalam talian juga boleh mendapat inisiatif ataupun mendapat faedah melalui jualan rahmah ini,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi Kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UDA Holdings Bhd diturunkan mulai bulan ini bagi membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi.
Selain itu, PJRM juga akan dilaksanakan di semua kawasan DUN sekurang-kurangnya seminggu sekali, setiap minggu bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih murah.