OPR kekal 2.75 peratus

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalama (OPR) pada 2.75 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan global kekal berdaya tahan suku pertama 2026, disokong permintaan dalam negeri mampan dan perkembangan teknologi.
  • Kenaikan harga tenaga dan komoditi serta gangguan rantaian bekalan akibat konflik Asia Barat mula menjejaskan momentum pertumbuhan global.
  • Malaysia catat momentum pertumbuhan berterusan, dipacu permintaan domestik mampan, eksport kukuh, dan asas ekonomi menyokong daya tahan.
  • Inflasi keseluruhan dan teras purata masing-masing 1.6% dan 2.1% suku pertama 2026; kesan konflik dijangka meningkat sedikit namun kekal terkawal.

Menurut BNM, pertumbuhan global kekal berdaya tahan pada suku pertama 2026, disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan teknologi global yang terus berkembang.

Bagaimanapun, peningkatan harga tenaga dan komoditi yang mendadak serta gangguan rantaian bekalan daripada konflik Asia Barat mula mempengaruhi momentum pertumbuhan global.

Bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan momentum pertumbuhan yang berterusan pada suku pertama, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan pertumbuhan eksport yang kukuh.

BNM berkata, asas-asas Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara.

“Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar pula kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.,” katanya.

Aktiviti pelaburan dijangka dipacu oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta pelan induk nasional.

“Sektor luaran pula mendapat manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik yang terus kukuh, manakala perbelanjaan pelancong berterusan meskipun pada kadar lebih sederhana,” tambah BNM lagi.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.6 peratus dan 2.1 peratus pada suku pertama 2026.

Menurut BNM, harga komoditi global yang lebih tinggi akibat konflik Asia Barat dijangka meningkatkan tekanan kos dalam negeri, lantas menyebabkan inflasi meningkat sedikit.

Namun, kesan konflik terhadap inflasi keseluruhan dan inflasi teras tahun ini dijangka kekal terkawal.

Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.