LRT laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir, perkhidmatan terganggu

Foto fail

KUALA LUMPUR, 28 Mei -Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling mengalami gangguan, selepas sebuah tren tergelincir di kawasan suis landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden berpunca daripada kerosakan suis landasan menyebabkan tren tidak dapat bergerak, menjejaskan jadual perjalanan.
  • Seramai 25 penumpang dipindahkan selamat mengikut prosedur operasi; tiada kecederaan dilaporkan.
  • Kerja baik pulih giat dijalankan; perkhidmatan alternatif termasuk tren ulang-alik dan bas perantara percuma diaktifkan.
  • Penumpang dinasihatkan guna Laluan Putrajaya melalui Stesen Sungai Besi, rujuk MyRapid PULSE dan patuhi arahan petugas.

Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden itu berpunca daripada kerosakan suis landasan yang menyebabkan tren berkenaan tidak dapat bergerak, sekali gus menjejaskan jadual perjalanan perkhidmatan di laluan tersebut.

“Ketika kejadian, terdapat seramai 25 orang penumpang yang berada di dalam tren terbabit. Penumpang-penumpang tersebut telah dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi, dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Rapid KL turut ingin mengesahkan kesahihan beberapa gambar yang tular di media sosial,” jelas RapidKL.

Susulan insiden tersebut, kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan bagi memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan secepat mungkin.

Pada masa sama, pelan perkhidmatan alternatif kekal berkuatkuasa bagi memastikan kelangsungan perjalanan penumpang, termasuk pengaktifan tren alternatif dan bas perantara percuma.

“Antara pelan perkhidmatan alternatif yang disediakan termasuk tren ulang-alik di beberapa stesen terlibat serta bas perantara percuma yang menghubungkan stesen-stesen utama seperti Hang Tuah, Chan Sow Lin, Maluri, Cheras dan Pandan Jaya, dengan kekerapan sekitar 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa,” menurut kenyataan itu.

Penumpang yang menuju ke pusat bandar dinasihatkan menggunakan Laluan Putrajaya dengan melakukan pertukaran di Stesen Sungai Besi bagi melancarkan perjalanan.

Rapid KL turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan petugas stesen serta merujuk saluran rasmi dan aplikasi MyRapid PULSE untuk maklumat terkini.

Pihak Rapid KL memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan memberi jaminan bahawa keselamatan serta keselesaan penumpang kekal menjadi keutamaan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.