
TUMPAT, 28 Mei- Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Gua Musang–Kuala Krai, Kelantan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bidan Sara, Kampung Kok Bedullah, di sini, pagi tadi.
- Mangsa tiga beranak: Safinaz Razmi, 52; Jasmin Lyana Mohd Jamil, 22; dan bayi Nur Nuha Helena, enam bulan.
- Suami Jasmin, Muhammad Danial, 23, cedera dan sedang dirawat di HSIP tetapi dibenarkan menghadiri pengebumian.
- Kejadian dipercayai berlaku ketika kenderaan dipandu Danial memotong lalu bertembung MPV dari arah bertentangan kira-kira pukul 7 pagi.
- Safinaz maut di lokasi; Jasmin meninggal akibat kecederaan kepala pada 9.59 pagi; bayi perempuan meninggal kira-kira 4.40 petang.
Tiga mangsa berkenaan ialah Safinaz Razmi, 52, anaknya Jasmin Lyana Mohd Jamil, 22, dan cucunya Nur Nuha Helena Abd Matin yang berusia enam bulan.
Proses pengebumian selesai kira-kira pukul 8.15 pagi selepas semua jenazah disembahyangkan di kediaman keluarga di Kampung Kok Bedullah.
Terdahulu, jenazah ketiga-tiga mangsa tiba di rumah keluarga pada pukul 2.30 pagi dari Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai sebelum urusan pengebumian dilaksanakan.
Suami kepada Jasmin Lyana, Muhammad Danial Darwisy Che Hasmadi, 23, yang turut cedera dalam kejadian itu masih menerima rawatan di HSIP, namun diberikan kebenaran untuk menghadiri pengebumian isteri, anak dan ibu mentuanya.
Menurut Muhammad Danial, kejadian berlaku terlalu pantas dan beliau hanya menyedari selepas diselamatkan anggota bomba.
“Sebaik sedar, saya dapati diri saya berada di tepi jalan berhampiran tembok.Kemudian bomba datang menyelamatkan saya. Ketika itu saya berada di tepi rumput.
“Saya merancang untuk pulang menyambut Aidiladha bersama keluarga dan telah meminta cuti seminggu,” katanya.

Dalam kejadian pada Rabu, kira-kira pukul 7.00 pagi, kereta yang dipandu Muhammad Danial dipercayai sedang memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah bertentangan.
Kemalangan itu mengorbankan Safinaz yang meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Jasmin Lyana meninggal dunia pada 9.59 pagi akibat kecederaan parah di kepala, sebelum bayi perempuannya meninggal dunia kira-kira 4.40 petang.