Perlindungan takaful bantu PMKS kekal tenaga kerja

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna Kumpulan Kumpulan CIMB, Haniz Nazlan pada Pelancaran Produk Akaun Gaji CIMB – BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Perlindungan takaful pekerja merupakan antara perkara utama yang diperlukan perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam usaha mengekalkan tenaga kerja pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PMKS sukar mengekalkan tenaga kerja akibat isu kos hidup yang meningkat.
  • Takaful pekerja, terutamanya perlindungan penyakit kritikal, dapat mengurangkan kos majikan dan mengekalkan pekerja.
  • Akaun Gaji CIMB menawarkan perlindungan 36 penyakit kritikal, pampasan kematian dan hilang upaya menyeluruh dan kekal.
  • Beliau berharap bank meningkatkan kerjasama dengan sektor insurans untuk tawarkan produk kepada pekerja, usahawan dan pemilik perniagaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, syarikat-syarikat PMKS ketika ini berdepan kesukaran untuk mengekalkan tenaga kerja kerana berdepan pelbagai isu termasuk kenaikan kos harga barang.

“Jadi dengan adanya kemudahan insuran ataupun takaful perlindungan kepada pekerja mereka khususnya dari segi perlindungan daripada penyakit kritikal.

“Maka sekurang-kurangnya majikan boleh mengurangkan kos dalam aspek ini dan keduanya boleh memberikan kemudahan ini untuk mengekalkan pekerja-pekerja,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Akaun Gaji CIMB di bawah program CIMB@Work.

Akaun Gaji CIMB tersebut merangkumi perlindungan terhadap 36 penyakit kritikal seperti kanser dan serangan jantung, selain pampasan bagi Kematian serta Hilang Upaya Menyeluruh dan Kekal (TPD).

Beliau berharap, bank-bank dapat meningkatkan kerjasama dengan sektor insurans bagi menawarkan produk-produk bukan sahaja kepada pekerja, malah mungkin juga kepada usahawan dan pemilik perniagaan.

Terdahulu, Steven Sim dalam ucapannya memaklumkan, pihaknya telah menggariskan pendekatan 3A kepada sektor perbankan dan institusi kewangan bagi membantu PMKS, meliputi ‘accessibility’ (kebolehcapaian), ‘affordability’ (kemampuan) dan ‘advancability’ (keupayaan berdaya maju).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Haniz Nazlan menyasarkan kira-kira dua juta daripada lapan juta pelanggan sedia ada akan beralih kepada akaun gaji baharu itu.

Beliau berkata, proses pembukaan akaun adalah mampu milik dengan deposit permulaan serendah RM20 sahaja dan pelanggan perlu mengkreditkan gaji minimum RM1,000 ke dalam akaun tersebut.

Pelanggan hanya perlu mengekalkan baki purata bulanan (MAB) sebanyak RM2,500 untuk memulakan perlindungan dan memastikan baki tersebut kekal untuk terus dilindungi.