Pasaran getah ditutup rendah susulan niaga hadapan serantau lemah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Januari – Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih rendah pada Khamis dipengaruhi aliran penurunan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih rendah dipengaruhi oleh aliran penurunan niaga hadapan getah serantau.
  • Sentimen tertekan akibat ketidaktentuan dasar perdagangan AS dan ketegangan geopolitik, walaupun bekalan di pengeluar utama berkurang.
  • Penurunan terhad oleh kilang yang akan mengisi semula stok menjelang Tahun Baharu Cina dan ringgit yang lebih lemah.

Beliau berkata sentimen pasaran tertekan oleh ketidaktentuan yang mengelilingi dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik yang berterusan.

“Penurunan selanjutnya dihadkan oleh kebimbangan mengenai pengurangan bekalan bahan mentah di negara pengeluar getah asli utama, ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS dan data ekonomi AS yang positif,” katanya kepada Bernama.

Menurut peniaga tersebut, pengeluar tayar di China memperlahankan pengeluaran susulan penyelenggaraan yang dirancang sebelum dan selepas cuti umum Tahun Baharu.

Namun, penurunan harga mungkin terhad kerana kilang-kilang akan mengisi semula stok menjelang Tahun Baharu Cina pada Februari.

Secara global, beliau berkata aktiviti sektor perkhidmatan AS secara tidak dijangka meningkat pada Disember yang menunjukkan ekonomi mengakhiri 2025 dengan asas yang kukuh.

“Selain itu, bank-bank terbesar di AS dijangka melaporkan keuntungan suku keempat yang lebih besar minggu depan dipacu oleh lonjakan hasil perbankan pelaburan apabila aktiviti janji niaga semakin meningkat,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata harga minyak dibuka bercampur-campur sekali gus mengurangkan beberapa keuntungan intra hari selepas pelan AS untuk mengawal minyak Venezuela dalam jangka panjang, menurut laporan Wall Street Journal.

Pada 3 petang, Getah Mutu Malaysia 20 (GMM20) turun enam sen sekilogram kepada 758.5 sen sekilogram manakala lateks pukal turun dua sen sekilogram kepada 575 sen sekilogram. – BERNAMA