Pahang Aerospace City sasar potensi pelaburan RM6 bilion

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 September – Pembangunan mega, Pahang Aerospace City (PAC) di Cherating disasar mencapai potensi pelaburan mencecah RM6 bilion, dengan kira-kira RM3 bilion daripadanya merupakan pelaburan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek 12,000 ekar dibangunkan sebagai pusat perindustrian dan pengangkutan multimodal, menggabungkan lapangan terbang, dron, roket, kereta api dan akses ke Pelabuhan Kuantan.
  • Mengandungi Space City dengan kilang pembuatan satelit dan kemudahan pelancaran roket serta sokongan teknologi seperti pusat data, kilang dron dan pembaikan pesawat.
  • Projek menarik minat pelabur antarabangsa dari China, Australia dan Scotland, dengan lapangan terbang dijangka beroperasi menjelang akhir 2031.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, setakat ini perbincangan awal bersama pelabur dari China dan Australia telah dilakukan termasuk bakal mengadakan pertemuan dengan pelabur dari Scotland.

Beliau berkata, projek seluas 12,000 ekar itu dibangunkan sebagai pusat perindustrian dan pengangkutan moden yang menghubungkan pelbagai sektor ekonomi masa hadapan.

“Saya fikir tidak ada masalah untuk menarik pelabur dari luar kerana kawasan ini akan menampilkan lapangan terbang pertama yang dikenali sebagai multimodal omniport.

“Pelbagai jenis sistem pengangkutan dan teknologi akan tersedia di satu lokasi. Kita ada lapangan terbang, dron dan roket, selain perkhidmatan kereta api yang terletak bersebelahan, serta tidak jauh dari Pelabuhan Kuantan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan projek PAC bukan sekadar membina lapangan terbang, sebaliknya bakal menempatkan kawasan bandar angkasa (Space City) yang mempunyai kilang pembuatan satelit serta kemudahan melancarkan roket.

Lapangan terbang ini dijangka akan mula beroperasi menjelang akhir tahun 2031.

“Walaupun dikenali sebagai lapangan terbang baharu, pembangunan ini bukan sekadar lapangan terbang. Sebaliknya, terdapat komponen pembangunan Space City di kawasan bersebelahan termasuk kilang untuk menghasilkan satelit yang akan dilancarkan ke angkasa,” katanya.

Selain teknologi angkasa, PAC turut dilengkapi dengan pusat data komputer, kilang membuat dron dan perkhidmatan pembaikan kapal terbang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.