Pengeluaran getah asli meningkat 1.0 peratus pada Julai

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 September – Pengeluaran getah asli meningkat 1.0 peratus pada Julai 2026 kepada 26,817 tan metrik berbanding 26,553 tan pada Jun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengeluaran getah asli menurun 25.3 peratus tahun ke tahun pada Julai 2026.
  • Pekebun kecil menyumbang 87.6 peratus pengeluaran; estet 12.4 peratus.
  • Jumlah stok getah asli turun 0.7 peratus kepada 128,946 tan metrik.
  • Eksport meningkat 6.2 peratus; China terima 45.2 peratus, sarung tangan getah bernilai RM1.7 bilion meningkat 20.4 peratus.

Laporan Perangkaan Getah Bulanan bagi Julai 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 25.3 peratus daripada 35,884 tan, bulan sama tahun sebelumnya.

”Pengeluaran getah asli Malaysia pada Julai 2026 disumbangkan terutamanya oleh pekebun kecil (87.6%) berbanding estet (12.4%).

”Jumlah stok getah asli pada bulan sama menurun 0.7 peratus kepada 128,946 tan metrik berbanding 129,836 tan metrik pada Jun 2026,” jelas kenyataan dari DOSM, hari ini.

Sementara itu, eksport getah asli Malaysia berjumlah 41,241 tan pada Julai 2026, meningkat 6.2 peratus berbanding 38,821 tan pada Jun 2026.

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli dengan menyumbang 45.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Julai 2026, diikuti Jerman (14.4%), Amerika Syarikat (9.1%), Emiriah Arab Bersatu (6.4%) dan Brazil (3.3%).

Jelas DOSM, eksport produk berasaskan getah asli didominasi oleh sarung tangan getah dengan nilai RM1.7 billion pada Julai 2026, meningkat 20.4 peratus berbanding RM1.4 billion pada Jun 2026.

Bagi harga purata bulanan, lateks pekat merekodkan RM7.25 sekilogram pada Julai 2026 berbanding RM7.36 sekilogram pada Jun 2026, manakala getah sekerap mencatatkan harga purata bulanan 753.23 sen sekilogram pada Julai 2026 daripada 792.76 sen sekilogram pada Jun 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.