Pasaran hartanah separuh pertama 2026 catat 187,320 transaksi

Foto RTM

KAJANG, 10 September – Pasaran hartanah negara bagi separuh pertama 2026 kekal berdaya tahan dengan merekodkan 187,320 transaksi bernilai RM105.12 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • OPR dikekalkan pada 2.75 peratus, menyokong keyakinan pembiaya dan pembeli serta kestabilan pasaran.
  • 27,832 unit kediaman baharu dilancarkan, dengan prestasi jualan 16.6 peratus pada separuh pertama 2026.
  • Indeks Harga Rumah 234.7, purata harga RM506,317 seunit, meningkat 0.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
  • 33,094 unit siap belum terjual bernilai RM17.78 bilion, menuntut sinergi data dan rujukan NAPIC oleh pemaju dan PBT, melibatkan rumah mampu milik dan harga pertengahan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi itu disokong aktiviti transaksi dan pergerakan harga yang stabil serta aktiviti pembinaan yang kekal aktif, meskipun berlaku sedikit pelarasan marginal.

“Kestabilan ini dipengaruhi oleh dasar monetari negara iaitu Kadar Polisi Semalaman (OPR) dikekalkan pada paras 2.75 peratus, sekali gus memberi keyakinan kepada pembiaya dan pembeli,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2026 di sini.

Menurut beliau, sebanyak 27,832 unit kediaman baharu dilancarkan ke pasaran pada separuh pertama tahun ini dengan prestasi jualan sebanyak 16.6 peratus.

Dalam pada itu, katanya, Indeks Harga Rumah Malaysia mencatatkan 234.7 mata, manakala purata harga rumah berada pada RM506,317 seunit, meningkat 0.9 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagi segmen hartanah tidak terjual, sebanyak 33,094 unit kediaman siap belum terjual direkodkan dengan nilai keseluruhan RM17.78 bilion, berbanding 30,471 unit bernilai RM17.73 bilion pada 2025.

“Unit kediaman yang masih belum terjual bukan sahaja melibatkan rumah berharga tinggi, malah turut ketara dalam segmen rumah mampu milik dan harga pertengahan,” katanya lagi.

Menurut beliau, data berkenaan menunjukkan keperluan terhadap sinergi data yang lebih mantap bagi memastikan pembinaan dan perancangan projek tidak lagi berlandaskan andaian semata-mata.

“Pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu merujuk, menganalisis serta memanfaatkan sepenuhnya sistem data raya Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi meneliti permintaan sebenar di sesuatu lokasi sebelum melancarkan projek baharu,” ujarnya.

Data berkenaan terkandung dalam Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2026 yang dikeluarkan NAPIC, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.