
TAIPING, 18 November – Kegiatan mengumpul minyak masak peket bersubsidi sebelum dijual semula kepada industri minyak masak terpakai terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah stor tanpa kebenaran di Kamunting, hari ini.
- Serbuan Op Tiris 4.0 merampas kira-kira 4,240 kilogram minyak masak bernilai RM80,600.
- Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
- Rampasan termasuk 112 kotak (2,240 kg), 10 tong dram (kira-kira 2,000 kg) dan sebuah pacuan empat roda; kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Serbuan menerusi Op Tiris 4.0 Bersepadu kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu membawa kepada rampasan kira-kira 4,240 kilogram minyak masak dengan nilai keseluruhan RM80,600.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi dilakukan hasil risikan selama seminggu terhadap aktiviti penyimpanan minyak masak peket satu kilogram.

Menurut Datuk Kamalludin lagi, minyak masak berkenaan dipercayai dibeli pada harga RM2.50 sekilogram sebelum dikumpulkan dan dijual semula kepada pihak industri minyak masak terpakai pada harga antara RM3.60 hingga RM4 sekilogram.
Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis ditahan bagi membantu siasatan.

Rampasan melibatkan 112 kotak minyak masak peket satu kilogram seberat 2,240 kilogram, 10 tong dram plastik mengandungi kira-kira 2,000 kilogram minyak masak serta sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.