KPWKM sasar 50,000 penjaga terlatih menjelang 2030

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri / Foto Facebook Nancy Shukri

PUTRAJAYA, 18 November – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan untuk melahirkan 50,000 penjaga terlatih menjelang 2030 bagi memperkukuh sektor ekonomi penjagaan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tahun ini disasarkan 2,000 penjaga menjalani latihan, meningkat berbanding 400 (2023) dan 485 (2024).
  • Pembangunan ekonomi penjagaan bertujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan membantu yang berhenti kerja bagi mengurus keluarga.
  • Latihan kemahiran profesional memastikan penjagaan sewajarnya dan memberi keyakinan keluarga sambil menyokong aspirasi negara menjadi negara penyayang.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementerian menyasarkan seramai 2,000 penjaga menjalani latihan tahun ini berbanding 400 orang pada 2023 dan 485 orang pada 2024.

Menurutnya, pembangunan sektor ekonomi penjagaan menjadi antara pendekatan kementerian untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, khususnya mereka yang terpaksa meninggalkan pekerjaan bagi menguruskan ahli keluarga.

“Ekonomi penjagaan ini amat penting kerana bukan sahaja membantu negara tetapi juga membantu wanita yang pergi bekerja. Ramai wanita juga tak pergi bekerja ataupun mengurangkan masanya bekerja kerana lebih memberi perhatian kepada keluarga,” katanya.

Tambah beliau, latihan kemahiran profesional dalam bidang penjagaan penting bagi memastikan individu yang memerlukan khidmat berkenaan menerima penjagaan sewajarnya, selain memberi keyakinan kepada keluarga.

Usaha itu katanya menyokong aspirasi kerajaan untuk membangunkan sebuah negara penyayang melalui pembentukan ekosistem penjagaan yang lebih menyeluruh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.