
KUALA LUMPUR, 18 November – Malaysia perlu mempercepatkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perniagaan agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi global, sekali gus merealisasikan aspirasi menjadi Negara AI menjelang 2030.
- Sentiasa peka terhadap perubahan teknologi, khususnya dalam sektor perkhidmatan, untuk elak ketinggalan.
- Gunakan AI bukan sekadar automasi; ubah kaedah operasi untuk tingkatkan produktiviti dan nilai kerja pekerja.
- Kembangkan perniagaan digital, kenal pasti halangan dan buka peluang baharu bagi merealisasikan aspirasi Negara AI.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Azlan Sharom berkata, perubahan teknologi yang berlaku ketika ini perlu diberi perhatian serius, khususnya sektor perkidmatan.
“Kita tidak mahu menjadi terlalu selesa dengan keadaan semasa atau kekal dalam takuk yang sama tanpa mengikuti perubahan yang sedang berlaku, sebelum akhirnya tersedar bahawa dunia sudah jauh meninggalkan kita,” katanya ketika berucap semasa GBS Global Summit 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata, penggunaan AI bukan sekadar bertujuan untuk automasi proses kerja sedia ada, sebaliknya berupaya mengubah keseluruhan kaedah operasi sesebuah perniagaan.
Perubahan itu juga katanya, perlu dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, bukannya semata-mata ancaman kepada pekerjaan.
Mengambil contoh peningkatan kecekapan sehingga 70 peratus menerusi AI, beliau berkata, teknologi itu boleh dimanfaatkan untuk memberi ruang kepada pekerja melaksanakan tugas yang lebih bernilai dan produktif.
Dalam pada itu, beliau berkata, aspirasi menjadikan Malaysia Negara AI turut berkait rapat dengan sasaran meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, berbanding 23.5 peratus ketika ini.
Bagi mencapai sasaran itu, Malaysia perlu mengembangkan perniagaan digital sedia ada, selain mengenal pasti halangan yang menyekat pertumbuhan industri dan membuka peluang baharu menerusi penggunaan teknologi AI.