
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 3 September ini, susulan pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan inflasi yang masih terkawal.
- Pertumbuhan KDNK 6.0% pada suku kedua 2026 menunjukkan momentum ekonomi domestik yang kukuh.
- Asas ekonomi domestik kekal kukuh, sekali gus mengurangkan keperluan pelarasan kadar semasa.
- Inflasi stabil pada Julai 2026 menunjukkan tekanan harga sederhana, memberi ruang kepada dasar monetari kekal.
- Kestabilan kadar dasar membantu isi rumah dan perniagaan merancang komitmen, pelaburan dan pengurusan modal kerja.
Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Nur Surayya Mohd Saudi berkata, jangkaan itu disokong prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK yang berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, sekali gus menunjukkan ekonomi negara masih mempunyai momentum pertumbuhan yang baik.
Beliau berkata prestasi berkenaan turut mencerminkan asas ekonomi domestik yang kekal kukuh, sekali gus tidak memerlukan sebarang pelarasan terhadap kadar semasa.
Ujar beliau, pada masa sama, inflasi yang kekal stabil pada Julai 2026 menunjukkan tekanan harga masih sederhana, sekali gus memberi ruang kepada BNM mengekalkan pendirian dasar monetari semasa.
“Sekiranya OPR dikekalkan pada 2.75 peratus, ia memberi kepastian kepada ekonomi. Bagi isi rumah, kestabilan OPR membantu mengurangkan ketidaktentuan terhadap komitmen bulanan, manakala bagi sektor perniagaan, ia membantu syarikat merancang pelaburan, pengembangan kapasiti dan pengurusan modal kerja dengan lebih baik.” katanya ketika ditemui RTM disini
Tambahnya, penetapan OPR juga perlu mengambil kira ketahanan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global, termasuk perkembangan geopolitik serta perubahan dasar monetari Amerika Syarikat.
Menurutnya, kadar OPR yang bersesuaian dapat mewujudkan persekitaran monetari yang stabil, sekali gus memperkukuh keupayaan ekonomi negara untuk terus berkembang dan menyerap sebarang kejutan.
Mesyuarat MPC BNM seterusnya dijadualkan berlangsung pada 3 September ini.