
KUALA LUMPUR, 22 April – Malaysia kini muncul sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara susulan peralihan aliran modal ke rantau yang mempunyai kelebihan dari segi pengeluaran dan keupayaan sumber tenaga.
- Petronas lancar Malaysia Bid Round 2026 tema Advantaged Energy untuk menjadikan Malaysia destinasi pelaburan selamat dan percepat pelaburan tenaga.
- Tawaran disusun tarik pelabur pelbagai dengan gabungan aset matang risiko rendah dan peluang penerokaan baharu berimpak tinggi.
- Malaysia sasar pelaburan huluan RM50 bilion hingga RM60 bilion setahun untuk kekalkan penerokaan, pembangunan dan keselamatan tenaga jangka panjang.
Menurut MBSB Investment Bank Bhd, penemuan luar pesisir terkini oleh Murphy Oil di Vietnam, di samping kedudukan Malaysia sebagai pasaran yang stabil dan mesra pelabur, mengukuhkan kepentingan strategiknya rantau ini.
“Seiring peralihan struktur dalam aliran pelaburan tenaga global ini, Malaysia Bid Round (MBR) 2026 telah dilancarkan secara rasmi oleh Petronas dengan tema ‘Advantaged Energy: Accelerating and Shaping Tomorrow’.
“Inisiatif ini merupakan usaha strategik untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan selamat pilihan, dengan memanfaatkan pengagihan semula modal yang sedang berlaku dari rantau berisiko tinggi,” kata bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikannya.
MBSB berkata, tawaran itu distrukturkan bagi menarik pelbagai spektrum pelabur dengan menggabungkan aset matang berisiko rendah serta peluang penerokaan baharu berimpak tinggi.
Jelas firma itu, Malaysia menyasarkan pelaburan huluan tahunan antara RM50 bilion hingga RM60 bilion bagi mengekalkan momentum sektor tenaga.
Jumlah tersebut akan memastikan aliran berterusan aktiviti penerokaan dan pembangunan untuk menyokong kelestarian pengeluaran jangka panjang serta keselamatan tenaga.
“Kami mengekalkan penarafan positif terhadap sektor tenaga, disokong oleh keadaan bekalan global yang semakin ketat secara struktur serta premium risiko geopolitik yang tinggi berikutan peningkatan ketegangan di Asia Barat.
“Peningkatan ketara harga minyak mentah, dengan Brent kekal melebihi paras AS$100 setong tidak mencerminkan kekuatan permintaan, tetapi gangguan berterusan di bahagian penawaran, khususnya dari Selat Hormuz serta ketidakstabilan serantau yang lebih meluas,” tambahnya.