
KUALA LUMPUR, 22 April – Kerjasama strategik sektor kesihatan awam dan swasta perlu terus diperkukuh, bagi memperluas capaian Penjagaan Kesihatan Pencegahan.
- Jadikan pencegahan kesihatan sebahagian daripada penyampaian perkhidmatan harian, bukan kempen sementara.
- Kerjasama awam dan swasta perlu meluaskan capaian saringan serta membawa maklumat kesihatan lebih dekat kepada komuniti.
- Sokongan sektor swasta kritikal untuk mempercepat transformasi sistem penjagaan kesihatan menerusi pelaksanaan keutamaan kementerian.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata kolaborasi berkenaan penting dalam memperluas perkhidmatan kesihatan kepada komuniti, khususnya di kawasan bandar.
“Usaha pencegahan kesihatan tidak boleh dilihat sebagai kempen sementara, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada perkhidmatan kesihatan harian dan pendekatan bersama komuniti.
“Dalam hal ini, kerjasama awam-swasta amat penting untuk meluaskan capaian saringan, memperkukuh agenda kesihatan negara serta membawa maklumat kesihatan lebih dekat kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya ketika berucap merasmikan blok baharu sebuah hospital swasta di ibu negara.
Menurut beliau lagi, usaha pencegahan perlu dijadikan sebahagian daripada penyampaian perkhidmatan kesihatan harian.
Pendekatan itu selari hasrat Kementerian Kesihatan untuk mengubah fokus penjagaan kesihatan daripada rawatan selepas sakit kepada pencegahan dan intervensi awal.
3 April lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly menggariskan lima keutamaan strategik yang memerlukan sokongan sektor swasta sebagai langkah kritikal mempercepat transformasi sistem penjagaan kesihatan negara.