
KUALA LUMPUR, 22 April – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghentikan sepenuhnya siaran siri animasi Cleopatra in Space susulan beberapa pandangan dan aduan berhubung kandungan program berkenaan yang disiarkan di TV2 pada 18 dan 19 April lalu.
- RTM menghentikan sepenuhnya siaran animasi Cleopatra in Space susulan aduan dan pandangan terhadap kandungan yang disiarkan pada 18 dan 19 April.
- Siri itu sebelum ini ditayangkan setiap Sabtu dan Ahad pukul 9 pagi.
- RTM menjalankan siasatan dalaman menyeluruh dan menegaskan komitmen kepada kandungan yang selamat serta menghormati sensitiviti agama dan budaya.
RTM dalam satu kenyataan memaklumkan, siaran animasi itu sebelum ini ditayangkan pada Sabtu dan Ahad, pukul 9 pagi.
Menurut RTM, susulan maklum balas diterima, pihaknya turut menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh terhadap kandungan siri berkenaan.
“Sebagai stesen penyiaran awam negara, RTM menegaskan komitmen untuk terus menyediakan kandungan program yang berkualiti, selamat serta mematuhi sensitiviti masyarakat, agama dan norma budaya tempatan,” menurut kenyataan itu.
RTM turut merakamkan penghargaan kepada penonton yang prihatin dan sentiasa menyalurkan maklum balas membina demi penambahbaikan mutu siaran.