
KUANTAN, 22 April – Seorang nelayan warga Thailand meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuantan, awal pagi tadi.
- Mangsa Sa-Edin Samaae, 57, dipercayai bekerja di sebuah syarikat perikanan di Endau, Johor.
- Dalam perjalanan dengan enam rakan menaiki van, mangsa mengadu tidak sihat dan minta singgah untuk ke tandas.
- Pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia; mayat dibawa ke Jabatan Forensik HTAA untuk bedah siasat, kes diklasifikasikan kematian mengejut.
Mangsa, Sa-Edin Samaae, 57 tahun, dipercayai bekerja di sebuah syarikat perikanan di Endau, Johor.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari Abu Samah berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3.26 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.
Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang ke Thailand bersama enam lagi rakan senegara menaiki van sewa.
“Berdasarkan keterangan pemandu van yang dinaiki (saksi), mangsa mengadu tidak sihat ketika dalam perjalanan dan minta singgah di R&R itu untuk ke tandas.
“Mangsa kemudiannya masuk ke tandas dan dilihat keluar dalam keadaan lemah serta sempat berpaut pada tiang, sebelum rebah”, katanya dalam satu kenyataan hari ini, di sini.
Mangsa yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri kemudian diangkat oleh orang awam dan dibaringkan di atas kerusi berhampiran sementara menunggu bantuan tiba.
Pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
ACP Ashari berkata mangsa dikatakan tidak sihat sejak dua minggu lalu dan mengalami bengkak di kedua-dua belah kakinya, namun tidak mendapatkan rawatan di hospital.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HTAA Kuantan untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan.