
KUALA LUMPUR, 23 April – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas juruhebah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Allahyarhamah Mariamah Tijo.
- Allahyarhamah Mariamah Tijo meninggal dunia pada usia 76 di PPUM Petaling Jaya.
- Memulakan kerjaya juruhebah RTM sejak 1970-an hingga 2006, memberikan banyak jasa dalam penyiaran negara.
- Dikenali sebagai 'suara emas' RTM dan terkenal dengan segmen Sebutlah Dengan Betul serta Nada Gurindam.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau menyifatkan Allahyarhamah sebagai tokoh legenda bersuara emas yang cukup sinonim dengan pendengar radio sejak era 1970-an.
“Dulu suara itulah antara yang setia menemani kita. Kini tinggal kenangan yang sukar dicari ganti,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, Allahyarhamah memulakan perkhidmatannya sebagai juruhebah dan penyampai radio RTM sejak 1970-an sehingga tahun 2006 dan telah meninggalkan banyak jasa dalam industri penyiaran negara.
Datuk Fahmi turut mendoakan semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Bagi pihak Kementerian Komunikasi, saya ucapkan takziah kepada seluruh keluarga dan sahabat handai Allahyarhamah.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tambahnya.
Allahyarhamah Mariamah Tijo menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.
Allahyarhamah yang memulakan kerjaya pada tahun 1972 dikenali sebagai ‘suara emas’ RTM dan terkenal dengan segmen seperti ‘Sebutlah Dengan Betul’ dan ‘Nada Gurindam’ ketika bertugas.
Allahyarhamah pernah menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA pada tahun 2024, atas jasa beliau dalam dunia penyiaran.