
PADANG BESAR, 22 April – Usaha membendung ketirisan bahan api di kawasan sempadan dipertingkat dengan penubuhan unit khas bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta jenayah berkaitan.
- Operasi rondaan dan risikan dijalankan untuk mengesan serta mencegah ketirisan bahan api yang merugikan negara.
- Sindiket disiasat termasuk penggunaan kenderaan warga asing dengan tangki tambahan; tindakan diambil terhadap premis haram yang terlibat.
- Sembilan stesen minyak dikenal pasti aktif di sempadan dan dipantau secara berterusan oleh PGA serta Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah berkata langkah itu dilaksanakan menerusi Op Tiris 4.0 dengan penubuhan pasukan petugas khas bagi memperketat kawalan.
Menurutnya, unit berkenaan menjalankan rondaan dan risikan bagi memastikan tiada ketirisan bahan api yang boleh menyebabkan kerugian kepada negara.
“Pasukan ini digerakkan untuk menjalankan rondaan dan mendapatkan maklumat berkaitan sindiket di sekitar Padang Besar, termasuk kenderaan warga asing yang menggunakan tangki tambahan.
“Berdasarkan maklumat itu, tindakan akan diambil termasuk terhadap premis haram yang terlibat,” katanya pada sidang media Op Tiris 4.0 di Padang Besar.
Sebanyak sembilan stesen minyak dikenal pasti aktif di kawasan sempadan negeri itu.
Pemantauan turut dijalankan secara berterusan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar di semua stesen berkenaan.