Malaysia dipilih sebagai ahli APCTT 2026-2029

Malaysia dipilih sebagai Ahli Majlis Pentadbiran Pusat Asia dan Pasifik bagi Pemindahan Teknologi (APCTT) bagi penggal 2026 hingga 2029. /Foto FB Wisma Putra

PUTRAJAYA, 22 April – Malaysia sekali lagi mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai Ahli Majlis Pentadbiran Pusat Asia dan Pasifik bagi Pemindahan Teknologi (APCTT) bagi penggal 2026 hingga 2029.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilihan dibuat semasa Sesi ke-82 UNESCAP di Bangkok, menghimpunkan negara-negara rantau Asia Pasifik.
  • Malaysia antara lapan negara diberi kepercayaan memperkukuh kerjasama teknikal dan memajukan pemindahan teknologi serta inovasi untuk pembangunan mampan.
  • Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mewakili negara; Malaysia komited memainkan peranan aktif dan menyumbang signifikan dalam APCTT di bawah UNESCAP.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan memaklumkan, pemilihan itu dibuat dalam Sesi ke-82 United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP) di Bangkok, yang menghimpunkan negara-negara rantau Asia Pasifik.

Malaysia merupakan antara lapan negara yang diberi kepercayaan untuk menganggotai badan penting ini, yang berperanan memperkukuh kerjasama teknikal, memperluas pemindahan teknologi serta merancakkan pembangunan sains, teknologi dan inovasi demi kemajuan mampan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mewakili Malaysia dalam penglibatan ini, sekali gus mengulangi peranan negara yang sebelum ini pernah berkhidmat dalam majlis sama bagi beberapa penggal sejak tahun 2006.

Kejayaan ini mencerminkan keyakinan berterusan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia sebagai rakan strategik dalam memacu agenda teknologi serantau.

Malaysia akan terus komited memainkan peranan aktif serta menyumbang secara signifikan dalam memperkasa fungsi APCTT di bawah naungan UNESCAP.