Volkswagen sedia lengkapi kereta untuk pasaran China dengan AI

Foto REUTERS

BEIJING, 22 April – Volkswagen Group merancang untuk melengkapkan kenderaan baharu yang dihasilkan untuk pasaran China dengan sistem kecerdasan buatan (AI) bermula separuh kedua tahun ini, ketika pengeluar automotif itu berusaha mengejar kemajuan teknologi di pasaran kereta terbesar dunia itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Volkswagen berusaha mengejar pengeluar China dalam teknologi elektrik, ciri digital, harga dan kelajuan pembangunan.
  • Sistem AI membolehkan interaksi lebih semula jadi seperti manusia dan meningkatkan perlindungan data peribadi.
  • Syarikat mengubah strategi di China, fokus pada kenderaan elektrik dan pintar yang direka khas untuk pasaran tempatan.

Syarikat automotif gergasi dari Jerman itu kini berusaha untuk bersaing dengan pengeluar kereta China yang lebih pantas dalam aspek teknologi elektrik, ciri digital, harga dan kelajuan pembangunan.

Dalam satu acara di Beijing menjelang pameran automotif tahunan minggu ini, Volkswagen memaklumkan kenderaan yang menggunakan seni bina elektronik khusus China akan dilengkapi dengan sistem AI dalam kenderaan bermula separuh kedua tahun ini.

Teknologi itu membolehkan interaksi yang lebih semula jadi dan menyerupai manusia antara pemandu dan kenderaan, selain menjamin perlindungan data peribadi yang lebih kukuh.

Berbeza dengan pembantu suara biasa yang hanya menjawab soalan ringkas, sistem AI tersebut mampu melaksanakan tugasan yang lebih kompleks serta membuat keputusan tertentu.

Volkswagen kini mengubah strategi di China dengan memberi tumpuan kepada kenderaan elektrik dan pintar yang direka khas untuk pasaran tempatan, bukan lagi sekadar pengeluar kereta enjin petrol dan diesel.-REUTERS