
SAUDARA PENGARANG
- Pembayaran digital sahaja meminggirkan pelanggan tanpa akses, menyebabkan malu dan kehilangan keperluan harian.
- Ketergantungan kepada internet dan sistem menimbulkan gangguan transaksi serta risiko keselamatan, menjejaskan warga emas dan golongan kurang celik teknologi.
- Keterangkuman digital mesti diutamakan, peniaga perlu sediakan pilihan tunai, kad atau digital supaya tiada sesiapa tertinggal.
Malaysia sedang bergerak pantas ke arah masyarakat tanpa tunai (cashless society) seiring dengan perkembangan teknologi kewangan digital. E-dompet atau e-wallet, perbankan dalam talian dan pembayaran tanpa sentuhan kini menjadi sebahagian daripada norma baharu.
Menurut laporan Oppotus (2024), sebanyak 63% rakyat Malaysia menggunakan e-dompet untuk transaksi harian. Ini menunjukkan perubahan tingkah laku pengguna yang semakin cenderung kepada transaksi pantas dan tanpa tunai.
Bank Negara Malaysia pula melaporkan nilai transaksi e-dompet mencecah lebih RM6 bilion pada separuh pertama 2023, dengan kadar pertumbuhan sekitar 20% dalam tempoh setahun. Namun, di sebalik kemudahan ini, timbul persoalan besar: Adakah semua rakyat benar-benar bersedia untuk hidup sepenuhnya dalam sistem tanpa tunai?
Realiti di Kaunter Bayaran
Bayangkan seorang pelanggan yang telah memilih barangan, beratur panjang, dan menunggu giliran di kaunter. Apabila tiba masa membayar, pelanggan dimaklumkan bahawa premis tersebut hanya menerima pembayaran digital.
Jika pelanggan tidak mempunyai akses kepada e-dompet atau kad bank, mereka terpaksa membatalkan pembelian.
Situasi ini bukan sekadar mengecewakan, malah boleh menimbulkan rasa malu dan segan di hadapan orang lain. Lebih membimbangkan apabila barangan yang ingin dibeli adalah keperluan asas seperti makanan atau barangan harian.
Pelanggan mungkin berasa tertekan, kecewa dan tidak berdaya walaupun mereka sebenarnya mempunyai wang tunai di tangan.
Cabaran Infrastruktur dan Teknologi
Sistem cashless bergantung sepenuhnya kepada capaian internet dan kestabilan sistem. Jika berlaku gangguan teknikal, transaksi tidak dapat diselesaikan. Dalam keadaan tertentu, pelanggan terpaksa meninggalkan premis tanpa memperoleh barangan yang diperlukan.
Hakikatnya, tidak semua lapisan masyarakat mempunyai kemahiran atau akses kepada teknologi digital. Golongan warga emas, individu berpendapatan rendah dan mereka yang kurang celik teknologi berisiko terpinggir apabila sistem pembayaran hanya bergantung kepada kaedah digital.
Walaupun pelbagai langkah keselamatan diperkenalkan, kebimbangan terhadap penipuan dalam talian dan kebocoran data peribadi masih menghantui pengguna.
Kes-kes yang dilaporkan dari semasa ke semasa menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem cashless. Persepsi risiko ini tetap mempengaruhi pilihan pengguna, meskipun teknologi semakin canggih.
Bagi peniaga, sistem cashless mampu meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan pengendalian wang fizikal. Namun, mereka juga perlu menanggung kos tambahan seperti caj transaksi daripada penyedia perkhidmatan pembayaran.
Dalam jangka panjang, kos ini berpotensi dipindahkan kepada pengguna melalui harga barangan.
Jika peniaga hanya menerima pembayaran digital, mereka mungkin dilihat lebih moden, tetapi pada masa yang sama berisiko kehilangan pelanggan yang masih bergantung kepada wang tunai.
Keterangkuman Digital: Prinsip yang Perlu Dijaga
Dalam usaha menuju masyarakat tanpa tunai, keterangkuman digital mesti menjadi keutamaan. Kemajuan teknologi seharusnya memudahkan urusan semua pihak, bukan sekadar golongan tertentu.
Peniaga disaran menyediakan pelbagai pilihan pembayaran sama ada tunai, kad, atau e-dompet agar semua pelanggan dapat berbelanja dengan selesa. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kepuasan pelanggan, malah membina imej perniagaan yang mesra pengguna dan inklusif.
Sistem cashless adalah langkah ke hadapan dalam era digitalisasi. Namun, pelaksanaannya perlu mengambil kira realiti masyarakat yang pelbagai. Tidak semua orang mampu atau bersedia untuk beralih sepenuhnya kepada pembayaran digital.
Pelanggan tidak sewajarnya pulang dengan tangan kosong dan hati kecewa hanya kerana kaedah pembayaran yang diterima tidak sesuai dengan kemampuan mereka.
Dalam membina masyarakat tanpa tunai, kita hendaklah memastikan tiada sesiapa yang tertinggal di belakang walaupun dalam era teknologi dan kepesatan sistem ekonomi digital.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Mazlina Che Malek
Pensyarah Pengurusan Sumber Manusia
Jabatan Pengurusan Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
e-mel: mazlinamalek@uis.edu.my