
KUALA LUMPUR, 2 April – Malaysia Aviation Group (MAG) memberi jaminan bekalan bahan api syarikat penerbangan itu masih mencukupi untuk mengekalkan operasi sehingga akhir tahun ini, meskipun berdepan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat.
- Komitmen bekalan diperoleh daripada pembekal domestik dan antarabangsa melalui perjanjian kontrak.
- Menyimpan lebih banyak bekalan bahan api di stesen tertentu kerana had simpanan di beberapa negeri dan negara.
- Melaksanakan lindung nilai bahan api sekitar 36% untuk 2026, dengan liputan sehingga 50% bagi suku kedua menggunakan struktur collar.
- Kos bahan api meningkat sehingga 140%, kira-kira 40% daripada kos operasi; MAG akan laraskan jadual penerbangan dan strategi operasi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, jaminan itu bersandarkan komitmen padu yang diperoleh daripada pembekal domestik dan antarabangsa melalui perjanjian bekalan berasaskan kontrak.
Beliau menjelaskan, sebagai langkah siap siaga, MAG turut mengambil inisiatif menyimpan lebih banyak bekalan bahan api di stesen-stesen tertentu bagi memastikan kelancaran operasi memandangkan wujud had simpanan di sesetengah negara.
“Kami telah memperoleh komitmen daripada pembekal kami, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa, berhubung bekalan bahan api.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa negeri dan negara yang mengenakan had tertentu terhadap jumlah bahan api yang boleh kami simpan atau bekalkan.
”Sehubungan itu, kami mengambil langkah untuk menyimpan lebih banyak bahan api di stesen-stesen tertentu bagi memastikan operasi dapat diteruskan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Prestasi Kewangan MAG bagi tahun 2025 di sini hari ini.
Bagi mengurus risiko turun naik harga minyak global, Nasaruddin memaklumkan MAG melaksanakan strategi lindung nilai (fuel hedging) sekitar 36 peratus secara keseluruhan bagi tahun 2026, dengan liputan sehingga 50 peratus bagi suku kedua.
“Kami menggunakan struktur collar hedge dengan had harga maksimum dan minimum bagi memastikan syarikat tidak terdedah kepada risiko kenaikan atau penurunan harga yang ekstrem,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran semasa, beliau mendedahkan MAG kini berdepan lonjakan kos bahan api sehingga 140 peratus, di mana komponen tersebut merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan kos operasi kumpulan.
Susulan itu, syarikat akan terus melaksanakan langkah penyesuaian termasuk pelarasan jadual penerbangan serta strategi operasi bagi meminimumkan impak kos yang semakin meningkat.
Mengenai prospek bagi tahun kewangan 2026, Nasaruddin berkata tiada unjuran rasmi diberikan buat masa ini memandangkan keadaan pasaran kekal tidak menentu dipengaruhi faktor geopolitik dan perkembangan global semasa.