
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Prestasi perdagangan Malaysia yang melepasi RM1 trilion dalam tempoh empat bulan pertama 2026 membuktikan ekonomi negara terus berada pada landasan kukuh dan semakin berdaya saing di peringkat global.
- Pertumbuhan perdagangan didorong sektor teknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik, semikonduktor serta produk berkaitan kecerdasan buatan.
- Sektor pembuatan menyumbang 23.4 peratus kepada KDNK sementara subsektor E&E merekodkan pertumbuhan kukuh 12.7 peratus pada 2025.
- Kebergantungan tinggi pada E&E dan pasaran eksport luaran menimbulkan risiko daripada turun naik permintaan, perang perdagangan dan persaingan geopolitik teknologi.
- Perlu perkuat ekosistem inovasi melalui pelaburan pendidikan, R&D dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menjadi hab ekonomi digital serantau.
Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Nur Surayya Mohd Saudi berpendapat, prestasi itu mencerminkan kejayaan negara memanfaatkan permintaan global terhadap cip dan teknologi digital, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam rantaian bekalan teknologi dunia.
“Prestasi ini merupakan pencapaian luar biasa dan signifikan kepada ekonomi negara. Pertumbuhan dipacu sektor teknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor dan produk berkaitan kecerdasan buatan (AI),” katanya ketika dihubungi RTM.
Mengulas mengenai data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan sektor pembuatan menyumbang 23.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala subsektor E&E merekodkan pertumbuhan kukuh sebanyak 12.7 peratus pada 2025, Dr Nur Surraya berkata, prestasi itu menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Pada masa sama, ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, dipacu sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menyumbang lebih 80 peratus kepada keseluruhan KDNK,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan asas ekonomi negara kekal stabil dan berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
“Bagaimanapun, kebergantungan tinggi terhadap sektor E&E dan pasaran eksport luar turut menimbulkan risiko kepada ekonomi negara, khususnya akibat turun naik permintaan global, perang perdagangan serta persaingan geopolitik teknologi,” jelasnya.
Beliau turut berpendapat, Malaysia perlu terus memperkukuh ekosistem inovasi tempatan menerusi pelaburan dalam pendidikan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Kerajaan dan industri juga disaran mempercepat penguasaan teknologi tempatan termasuk reka bentuk cip, automasi industri dan pembangunan teknologi bagi memastikan Malaysia muncul sebagai hab ekonomi digital serta teknologi tinggi utama di Asia.
Terdahulu, Malaysia mencipta sejarah baharu apabila jumlah perdagangan negara mencecah RM1.127 trilion bagi tempoh Januari hingga April 2026, rekod terpantas melepasi RM1 trilion dalam masa empat bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof menerusi satu kenyataan memaklumkan, pencapaian itu didorong oleh permintaan tinggi terhadap produk industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), terutama E&E, serta peluasan pasaran eksport.