
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, disokong oleh asas domestik Malaysia yang memberangsangkan.
- Ahli ekonomi Bank Muamalat menjangkakan ringgit lebih baik disebabkan lebihan akaun semasa dan komitmen kerajaan kurangkan defisit fiskal.
- Laporan rundingan AS dan Iran menurunkan harga minyak, Indeks Dolar AS stabil sekitar 99, beberapa bank pusat ditekan menyesuaikan kadar faedah.
- Ringgit mencatatkan prestasi rendah berbanding mata wang utama namun meningkat berbanding kebanyakan mata wang serantau ASEAN.
Pada 6.00 petang, ringgit meningkat kepada 3.9595/9630 berbanding dolar AS daripada 3.9675/9715 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka berada pada kedudukan lebih baik memandangkan negara terus merekodkan lebihan akaun semasa, manakala kerajaan kekal komited untuk mengurangkan defisit fiskal.
Beliau berkata laporan mengenai kemungkinan rundingan antara AS dan Iran dimuktamadkan telah menyebabkan harga minyak mentah mengalami penurunan, sementara Indeks Dolar AS (DXY) stabil sekitar paras 99 mata.
“Bagaimanapun, beberapa bank pusat masih menghadapi tekanan untuk melaraskan kadar faedah bagi mengekang penyusutan nilai mata wang dan mengawal tekanan inflasi, khususnya bagi ekonomi yang menghadapi defisit fiskal dan akaun semasa,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, ringgit mencatatkan prestasi dagangan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4906/4929 daripada 2.4942/4969 ketika ditutup pada Rabu, namun susut berbanding euro kepada 4.6037/6078 daripada 4.5975/6022.
Unit domestik turun berbanding pound British kepada 5.3220/3267 daripada 5.3089/3143.
Ringgit diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang negara serantau ASEAN.
Mata wang tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0967/0997 daripada 3.0969/1003 ketika ditutup semalam, dan lebih stabil berbanding baht Thailand kepada 12.1304/1468 daripada 12.1341/1516.
Ringgit lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 224.1/224.4 daripada 224.7/225.0 semalam, kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.43/6.44.- BERNAMA