ASEAN perlu nilai semula strategi keselamatan ekonomi – Penganalisis

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Anggota ASEAN perlu menilai semula pendekatan bagi memperkukuh keselamatan ekonomi susulan perubahan struktur global yang semakin mencabar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh integrasi ekonomi serantau disertai usaha meningkatkan daya tahan ekonomi nasional dan serantau.
  • Utamakan perlindungan sosial, sistem pencen dan kebajikan pekerja untuk menangani kehilangan pekerjaan akibat transformasi teknologi.
  • Tangani jurang pembangunan dan perubahan iklim melalui dasar baharu bagi mengurangkan ketidaktentuan dan memastikan keterangkuman.

Felo Penyelidik Kanan, Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Denis Hew berkata, model pertumbuhan lama yang diamalkan oleh rantau ini sememangnya berjaya memacu pertumbuhan, namun landskap global semasa menuntut perubahan strategi yang lebih menyeluruh dan bersifat jangka panjang.

“Salah satu langkah utama untuk menangani cabaran ini adalah dengan menggandakan usaha ke arah integrasi ekonomi serantau. Namun, integrasi ekonomi tanpa usaha memperkukuh daya tahan serantau boleh menjadi satu kelemahan.

“Sehubungan itu, ASEAN perlu mengenal pasti langkah yang perlu diambil bagi memperkukuh daya tahan ekonomi di peringkat nasional dan juga serantau,” katanya dalam Seminar Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 2026 anjuran Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) secara maya.

Menurut beliau, langkah memperkukuh daya tahan juga perlu lebih berteraskan rakyat memandangkan krisis yang berlaku ketika ini memberi kesan langsung kepada masyarakat.

“Isu jangka panjang yang perlu diberi perhatian termasuk perlindungan sosial, sistem pencen serta kebajikan pekerja ketika rantau ini berdepan dengan perubahan struktur ekonomi yang besar.

“Transformasi teknologi sememangnya mewujudkan peluang pekerjaan dan industri baharu, namun pada masa sama turut menyebabkan kehilangan pekerjaan dalam sektor tertentu, sama ada kita suka ataupun tidak,” katanya.

Beliau turut menegaskan jurang pembangunan yang masih ketara dalam ASEAN menjadi cabaran kepada integrasi ekonomi kerana sebahagian masyarakat dan negara anggota berisiko tercicir daripada arus pembangunan.

Risiko perubahan iklim juga dikenal pasti sebagai cabaran besar yang memerlukan pendekatan dasar baharu bagi menangani ketidaktentuan ekonomi dan memperkukuh daya tahan jangka panjang rantau berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.