
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Aspek kepercayaan kekal menjadi asas utama industri perbankan meskipun transformasi digital dalam sektor kewangan terus berkembang pesat menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
- Imbangan penggunaan AI dengan pertimbangan manusia, tadbir urus kukuh dan prinsip keadilan.
- Industri perlu profesional yang faham kewangan, data, risiko tingkah laku, tadbir urus model, kemampanan dan etika.
- Bank mesti bina dan pelihara kepercayaan untuk menyokong simpanan, pembiayaan PKS dan keyakinan pelabur jangka panjang.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kemajuan teknologi tidak seharusnya mengatasi kepentingan membina serta mengekalkan keyakinan pengguna terhadap sistem kewangan.
Katanya lagi, penggunaan AI dalam sektor kewangan perlu diseimbangkan dengan pertimbangan manusia, tadbir urus yang kukuh serta prinsip keadilan.
“Kita perlu membuat pertimbangan, bukan sekadar memproses data. Kita perlu melihat pelanggan sebagai seorang individu, bukan sekadar skor risiko. Kita perlu bertanya bukan sahaja sama ada sesuatu keputusan itu optimum dari sudut algoritma, tetapi sama ada keputusan tersebut adil.
“Sektor ini memerlukan golongan profesional yang bukan sahaja memahami kewangan, tetapi juga data, risiko tingkah laku, tadbir urus model, kemampanan serta etika.
“Namun yang paling penting, kita memerlukan golongan perbankan yang sentiasa mengingati bahawa di sebalik setiap akaun, setiap permohonan dan setiap data terdapat seorang manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Asian Institure of Chartered Bankers (AICB) Nexus di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, sistem perbankan yang mempunyai tahap kepercayaan tinggi menjadi sumber keyakinan penting kepada ekonomi, khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan.
“Apabila isi rumah berdepan ketidaktentuan, mereka perlu yakin bahawa simpanan mereka selamat. Apabila perniagaan berdepan turun naik pasaran, mereka memerlukan rakan kewangan yang memahami aliran tunai, risiko dan daya tahan.
“Apabila pelabur menilai Malaysia, mereka mahu melihat institusi yang ditadbir dengan baik, mempunyai modal yang kukuh serta berteraskan prinsip kehematan, iaitu institusi yang mampu membina keyakinan dan memperoleh kepercayaan untuk jangka panjang,” katanya lagi.
Jelas beliau, bank berperanan sebagai penghubung utama antara reformasi ekonomi dan pelaburan dengan menyalurkan simpanan kepada aktiviti ekonomi yang produktif, termasuk membiayai perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pertengahan serta syarikat korporat besar.