Musim Tengkujuh: Lebih 1,000 bakul makanan diagih kepada Orang Asli DUN Galas

Datuk Mohd Syahbuddin (dua dari kiri) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk orang asli / Foto RTM

GUA MUSANG, 27 September – Lebih 1,000 bakul makanan diagih kepada keluarga Orang Asli dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Agihan dibawa awal susulan cuaca tidak menentu dan peningkatan hujan, meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh.
  • Bantuan mengandungi keperluan asas seperti beras, tepung gandum dan gula, disalurkan melalui Pusat Khidmat ADUN Galas bersama rakan strategik.
  • Penduduk Pos Belatim dan penghulu menyatakan penghargaan, kata bantuan meringankan beban serta mengatasi masalah perjalanan ketika hujan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata, agihan tahun ini diawalkan susulan keadaan cuaca tidak menentu dan peningkatan taburan hujan yang berisiko mengakibatkan banjir serta tanah runtuh di kawasan pedalaman.

Menurutnya, bantuan yang disumbangkan Pusat Khidmat ADUN Galas dengan kerjasama rakan strategik itu mengandungi barangan keperluan asas termasuk beras, tepung gandum dan gula.

Antara kawasan yang sudah menerima bantuan ialah Pos Hau, Pos Balar, Pos Bihai dan Pos Belatim.

“Semua kampung ini telah dilawati dan saya berjumpa dengan wakil kampung untuk bantuan itu diedarkan kepada semua ketua isi rumah mengikut bilangan terkini.

“Biasanya mereka menerima bantuan pada November atau Disember, tetapi disebabkan keadaan cuaca hujan, bakul makanan dibawa dan diedarkan lebih awal kepada mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan bakul makanan di Pos Belatim, di sini.

Sementara itu, penduduk Pos Belatim, Aman Pandak berkata, berterima kasih atas bantuan yang dapat membantu meringankan beban mereka.

“Kalau kita mahu keluar ketika cuaca hujan memang bermasalah. Perjalanan ke bandar Gua Musang boleh mengambil masa empat jam ketika hujan,” katanya.

Penghulu Pos Belatim, Rosli Along turut merakamkan penghargaan atas bantuan yang disalurkan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.