
KUALA LUMPUR, 16 April- Kenaikan tambahan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu sebanyak RM100 dilihat berupaya mengurangkan tekanan kos pengangkutan dalam rantaian bekalan, sekali gus membantu menstabilkan harga barangan di pasaran.
- Bantuan BUDI meringankan beban kos pengeluar dan pengguna, mengurangkan kesan kenaikan kos pada harga runcit.
- Langkah ini berpotensi mengekang kenaikan inflasi secara mendadak apabila harga bahan api global tidak menentu.
- Pelaksanaan perlu disertai kawal selia lebih ketat untuk cegah ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi.
Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr. Ida Md Yasin berkata, langkah itu turut berpotensi mengekang kadar inflasi daripada meningkat secara mendadak khususnya dalam keadaan ketidaktentuan harga bahan api global.
“Apabila kerajaan menyalurkan bantuan melalui BUDI Diesel dan BUDI Agri-Komoditi, ia dapat meringankan beban kos yang ditanggung pengeluar serta pengguna.
“Lazimnya, apabila berlaku peningkatan kos, ia akan dipindahkan kepada pengguna. Oleh itu, dengan adanya bantuan subsidi diesel ini, diharapkan kenaikan harga tidak terlalu membebankan pengguna,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan bantuan itu perlu disertai dengan kawal selia lebih kukuh bagi mengelakkan ketirisan subsidi, termasuk membanteras penyeludupan dan penyalahgunaan.
Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan bantuan tunai di bawah program BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu dinaikkan sebanyak RM100 daripada RM300 kepada RM400 sebulan bermula April 2026.
Bantuan itu akan disalurkan pada 21 April ini dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 petani serta pekebun kecil, selain kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung.