
KUALA LUMPUR, 20 Mac – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan jualan automotif negara meningkat pada bulan Mac, disokong oleh musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
- Jumlah keseluruhan industri (TIV) turun 19 peratus tahun ke tahun pada Februari kepada 52,414 unit, mencerminkan kelembapan sementara dalam jualan.
- Penurunan dipacu oleh bulan bekerja lebih pendek dan penutupan kilang seminggu sempena cuti Tahun Baharu Cina.
- Jualan kenderaan penumpang susut 21 peratus, komersial 2 peratus; pengeluaran Februari merosot 20 peratus kepada 49,741 unit.
MAA menerusi kenyataan memaklumkan jangkaan itu dibuat selepas jumlah keseluruhan industri (TIV) merekodkan penurunan 19 peratus tahun ke tahun pada Februari kepada 52,414 unit, berbanding 65,052 unit dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus menunjukkan kelembapan sementara dalam jualan.
“Penurunan ini disebabkan oleh bulan bekerja yang lebih pendek serta penutupan kilang selama satu minggu bersempena cuti Tahun Baharu Cina,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas MAA, kemerosotan tersebut turut dipacu oleh penurunan 21 peratus dalam jualan kenderaan penumpang, manakala jualan kenderaan komersial susut dua peratus.
Sementara itu, pengeluaran kenderaan pada Februari turut mencatatkan penurunan, merosot 20 peratus tahun ke tahun dengan 49,741 direkodkan berbanding 62,090 unit direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, 46,808 unit merupakan kenderaan penumpang, manakala 2,933 unit adalah kenderaan komersial.
Ini menjadikan jumlah pengeluaran kumulatif bagi tempoh dua bulan pertama 2026 kepada 110,607 unit, iaitu 7 peratus lebih rendah berbanding 119,540 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.