
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada April 2026 dengan mata indeks naik kepada 136.9 daripada 134.3, bulan sama tahun sebelumnya.
- Inflasi didorong terutamanya oleh peningkatan ketara harga kumpulan Pengangkutan, naik kepada 4.1 peratus daripada 1.6 peratus.
- Kenaikan harga turut dicatat bagi maklumat dan komunikasi, makanan dan minuman serta hiasan dan penyelenggaraan isi rumah.
- Purata harga petrol dan diesel meningkat ketara, manakala 63.5 peratus daripada 573 item merekodkan kenaikan harga.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin memberitahu inflasi Malaysia, pada April didorong terutamanya peningkatan kumpulan Pengangkutan kepada 4.1 peratus daripada 1.6 peratus pada Mac lepas.
”Selain itu, inflasi Malaysia turut disumbangkan kenaikan maklumat dan komunikasi, 2.0 peratus, makanan dan minuman, 1.2 peratus serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah, 0.4 peratus.
”Sebaliknya, inflasi Insurans dan Perkhidmatan Kewangan (4.9 peratus), Restoran dan Perkhidmatan Penginapan (2.6 peratus) serta Kesihatan (1.4 peratus) merekodkan kadar sama seperti bulan sebelumnya,” jelas beliau menerusi kenyataan.
Inflasi bagi Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan serta Perkhidmatan menyederhana kepada 4.8 peratus pada April 2026 berbanding 7.0 peratus pada bulan sebelumnya.
Inflasi turut mereda bagi kumpulan Pendidikan (2.4 peratus); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (1.1 peratus) dan Rekreasi, Sukan & Kebudayaan (0.9 peratus).
Manakala, kumpulan Pakaian dan Kasut menurun kepada negatif 0.1 peratus pada April 2026.
Kenyataan turut menyatakan, 63.5 peratus daripada 573 item merekodkan kenaikan harga.
Sementara itu, purata harga petrol RON97 pada April meningkat kepada RM5.06 seliter berbanding RM4.03 seliter, pada bulan sebelumnya.
Bagi purata harga Diesel di Semenanjung mencatatkan kadar lebih tinggi pada RM5.92 seliter berbanding RM4.12 seliter pada bulan sebelumnya, manakala purata bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Purata harga petrol RON95 pula meningkat kepada RM4.00 seliter daripada RM3.16 seliter pada Mac berbanding harga subsidi sebanyak RM1.99 seliter.
Inflasi keseluruhan secara bulanan pada April 2026 meningkat kepada 0.4 peratus berbanding 0.3 peratus pada Mac.
”Dari segi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia pada April adalah lebih rendah berbanding inflasi di Philippines (7.2 peratus), Vietnam (5.5 peratus), Thailand (2.9 peratus), Republic of Korea (2.6 peratus) dan Indonesia (2.4 peratus).
”Bagaimanapun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding China (1.2 peratus),” katanya.