
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Jenama francais tempatan terus memperkukuh kehadiran di Indonesia apabila berjaya menjana potensi jualan bernilai RM89.4 juta menerusi penyertaan di Ekspo Francais dan Pelesenan Indonesia (FLEI) 2026.
- Perbincangan lanjut antara delegasi Malaysia dan rakan niaga Indonesia berpotensi menambah perjanjian perniagaan.
- FLEI 2026 mencatat lebih 300 mesyuarat perniagaan antara jenama francais Malaysia dan pelabur Indonesia.
- 10 syarikat Malaysia dari pelbagai sektor sertai expo untuk mengukuhkan jenama dan peluang francais di pasaran Indonesia.
- Indonesia menawarkan potensi pertumbuhan kukuh disokong pengguna ramai, kelas berpendapatan sederhana dan minat kepada makanan, pendidikan serta gaya hidup inovatif.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memaklumkan angka itu dijangka terus meningkat berdasarkan perbincangan yang masih berlangsung antara delegasi Malaysia bersama rakan niaga Indonesia.
Acara yang berlangsung di Jakarta, mencatatkan lebih 300 mesyuarat perniagaan melibatkan jenama francais Malaysia dan pelabur berminat.
Jumlah itu mencerminkan minat pasaran yang kukuh untuk mewujudkan kerjasama jangka panjang hasil usaha bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).
Tahun ini, 10 syarikat Malaysia terpilih melibatkan pelbagai sektor, masing-masing Artivo, Findbulous, ILUVQURAN, Mee Hiris China Muslim, Midyson, Bonda, Dsara Fried Chicken, 1901, Dapur Mama Original Nasi Kukus dan Ar-Rahn dengan matlamat mengukuhkan jenama Malaysia dalam pasaran Indonesia.
Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Indonesia, Suresh Kumar berkata, Indonesia terus menawarkan potensi pertumbuhan kukuh bagi jenama francais Malaysia, disokong jumlah pengguna, pertumbuhan golongan berpendapatan sederhana serta minat kepada konsep makanan dan minuman, pendidikan juga gaya hidup yang inovatif.
“Indonesia kekal antara pasaran paling berpotensi untuk pengembangan francais Malaysia di ASEAN. Sambutan menggalakkan yang diterima sepanjang FLEI 2026 mencerminkan permintaan kukuh kepada konsep perniagaan Malaysia yang berkualiti, mampu milik dan mudah dikembangkan.
”Kami melihat peluang yang semakin luas untuk jenama Malaysia menjalin kerjasama jangka panjang dan memperluas kehadiran di bandar-bandar utama Indonesia,” katanya.