Berjaya Air perluas penerbangan premium serantau

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud merasmikan pelancaran pesawat ATR 72-600 milik Berjaya Air, di sini, hari ini.

SUBANG, 20 Mei– Berjaya Air optimis memperkukuh segmen penerbangan premium serantau menerusi pelancaran pesawat ATR 72-600 HighLine baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesawat menawarkan konfigurasi kelas perniagaan eksklusif dengan kapasiti hanya 26 penumpang.
  • Sebuah lagi pesawat dijangka tiba pada Oktober untuk memperluas operasi dan menambah jadual penerbangan.
  • Operasi fokus penerbangan sejauh dua setengah jam dari Subang, destinasi seperti Koh Samui, Medan, Batam, serta tiket kelas perniagaan lebih kompetitif.

Pesawat itu menawarkan konfigurasi eksklusif kelas perniagaan dengan kapasiti hanya 26 penumpang.

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan Syarikat Berjaya Aviation, Datuk Chester Voo berkata, sebuah lagi pesawat dijangka diterima pada Oktober depan bagi memperluas operasi syarikat.

“Industri penerbangan ketika ini berdepan cabaran besar termasuk kenaikan harga bahan api, kos operasi tinggi dan kekangan rantaian bekalan global.

Berjaya Air sedang mengautomasikan sistem operasi, mempermudah proses digital serta menggunakan pesawat yang lebih cekap bahan api iaitu ATR 72-600,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran pesawat ATR HighLine baharu di sini, hari ini.

Katanya, pesawat itu akan digunakan bagi penerbangan dalam tempoh kira-kira dua setengah jam dari Subang.

Antara destinasi terlibat ialah Koh Samui, Medan, Batam dan Pulau Redang.

Berjaya Air turut merancang menyediakan penerbangan khas sempena musim perayaan seperti Aidiladha dan Aidilfitri.

Perkhidmatan itu termasuk ke Alor Setar dan beberapa destinasi lain di Semenanjung Malaysia.

Pesawat berkenaan dijangka mengendalikan antara empat hingga enam penerbangan sehari menggunakan sebuah pesawat.

“Jumlah itu dijangka meningkat kepada 10 penerbangan sehari selepas pesawat kedua diterima.

Harga tiket yang ditawarkan dijangka lebih rendah berbanding tambang kelas perniagaan syarikat penerbangan tradisional,” ujarnya lagi.

Berjaya Air sebelum ini menggunakan pesawat ATR 500 dan kini sedang menaik taraf operasi kepada ATR 72-600 HighLine bagi menyokong strategi pertumbuhan baharu syarikat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.