
KUALA LUMPUR, 20 Mei– Syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) tempatan, SkyeChip Bhd sedang melaksanakan penilaian terperinci terhadap terma dan syarat berkaitan token akses bagi subsistem pengkomputeran (CSS) milik Arm Holdings plc.
- Melakukan usaha wajar terperinci dan rundingan dengan kerajaan sebelum memulakan pembangunan cip berprestasi tinggi.
- Antara tiga syarikat tempatan yang mendapat kelulusan bersyarat kerajaan untuk CSS dan Arm Flexible Access.
- Penyenaraian di Pasaran Utama menunjukkan permintaan tinggi; hasil IPO diperuntukkan untuk R&D, pengembangan operasi, EDA dan modal kerja.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Fong Swee Kiang berkata, pihaknya turut mengadakan perbincangan bersama kerajaan bagi menyelaraskan beberapa jangkaan sebelum memulakan pembangunan cip berprestasi tinggi.
“Ini merupakan satu usaha yang besar bagi kami, jadi kami sedang melakukan usaha wajar yang lebih teliti bagi memastikan pembangunan CSS dapat mencapai kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyenaraian SkyeChip di Pasaran Utama Bursa Malaysia, hari ini.
SkyeChip merupakan antara tiga syarikat tempatan yang menerima kelulusan bersyarat daripada kerajaan bagi CSS dan Arm Flexible Access (AFA) pada awal Mei lalu.
Syarikat berpangkalan di Pulau Pinang itu membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM3.50 sesaham.
Saham syarikat berkenaan mencatatkan premium RM2.62 atau 297.73 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 88 sen dengan 23.21 juta saham diniagakan.
IPO SkyeChip terlebih langgan sebanyak 95.03 kali dengan jangkaan hasil kira-kira RM352 juta.
Menurut syarikat itu, sebanyak RM211.5 juta atau 60.1 peratus daripada hasil IPO akan digunakan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) portfolio harta intelek silikon serta produk silikon syarikat.
Selain itu, RM57.1 juta diperuntukkan bagi pengembangan kemudahan operasi, infrastruktur pengkomputeran dan makmal syarikat.
Sebanyak RM36.7 juta pula akan digunakan untuk melanggan automasi reka bentuk elektronik (EDA) dan perisian pembangunan bagi operasi reka bentuk IC syarikat.
Baki RM46.7 juta akan digunakan sebagai modal kerja serta menampung fi dan perbelanjaan berkaitan IPO.