
PUTRAJAYA, 7 Ogos – Ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan dengan mencatat pertumbuhan 5.6 peratus bagi separuh pertama 2026, meskipun berdepan persekitaran global yang tidak menentu.
- Ekonomi negara tunjuk daya tahan walaupun persekitaran global tidak menentu.
- Momentum pertumbuhan disokong prestasi positif sepanjang dua suku pertama tahun ini.
- Pencapaian membuktikan keupayaan mengekalkan pertumbuhan walaupun berhadapan cabaran luaran seperti ketidaktentuan perdagangan dan geopolitik.
- Usaha Ekonomi MADANI mula diterjemahkan kepada hasil jelas untuk ekonomi dan rakyat; kerajaan optimis meneruskan momentum menuju negara maju.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, momentum pertumbuhan itu disokong prestasi ekonomi yang kekal positif sepanjang dua suku pertama tahun ini.
Menurutnya, pencapaian berkenaan membuktikan ekonomi negara terus berkembang walaupun berdepan pelbagai cabaran luaran, termasuk ketidaktentuan perdagangan dan perkembangan geopolitik.
“Ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan pertumbuhan 5.6 peratus bagi separuh pertama tahun ini, selepas mencatat pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama dan anggaran awal 5.8 peratus pada suku kedua.
“Pencapaian ini direkodkan dalam persekitaran global yang mencabar, termasuk isu perdagangan dan perkembangan di Asia Barat.
“Namun, Malaysia masih berdaya tahan, terus berkembang dan bergerak ke arah menjadi sebuah negara maju,” katanya pada sidang media sempena Laporan Kemajuan GEAR-uP 2026, hari ini.
Beliau berkata, prestasi tersebut mencerminkan ketahanan asas ekonomi negara serta keupayaan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan dalam menghadapi persekitaran antarabangsa yang mencabar.
Perkembangan itu turut menunjukkan bahawa usaha yang dilaksanakan menerusi kerangka Ekonomi MADANI mula diterjemahkan kepada hasil yang lebih jelas kepada ekonomi negara dan rakyat.
Datuk Seri Amir Hamzah juga optimis momentum pertumbuhan semasa dapat dikekalkan dan terus menyokong aspirasi Malaysia untuk bergerak ke arah negara maju.