
PUTRAJAYA, 7 Ogos – Lebih 130 syarikat pemula Malaysia menerima sokongan daripada modal teroka awal menerusi ekosistem Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) sejak 2022.
- Jelawang Capital dan Dana Perintis menyalurkan RM588 juta kepada syarikat pemula sektor pengguna, digital, teknologi pertanian dan pendidikan pada 2025.
- Penyaluran termasuk 30 syarikat pemula Bumiputera, disokong oleh 11 dana modal teroka.
- GLIC menyalurkan RM1.3 bilion kepada syarikat Bumiputera sebagai teras pemerkasaan pada 2025.
- Strategi GEAR-uP membina rantaian pembiayaan menyeluruh dan keupayaan syarikat untuk meningkatkan daya saing serta berkembang ke pasaran lebih luas.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, jumlah itu turut merangkumi 30 syarikat pemula Bumiputera, dengan penyaluran modal disokong oleh 11 dana modal teroka.
Jelawang Capital, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd dan Dana Perintis bawah Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah menyalurkan RM588 juta kepada syarikat pemula
dalam sektor pengguna, digital, teknologi pertanian dan teknologi pendidikan pada tahun 2025.
Pendekatan itu sebahagian usaha untuk membina rantaian pembiayaan yang lebih menyeluruh bagi membolehkan syarikat tempatan berkembang daripada peringkat awal kepada skala lebih besar.
“Dana dalam negara sebenarnya sudah mencukupi, namun kadang-kadang syarikat tidak tahu ke mana hendak mendapatkan sokongan untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing mereka.
” Akhirnya, kita mahu mewujudkan mekanisme yang dapat membina syarikat tempatan supaya mampu berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena laporan Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) di sini.
Pada 2025, pemerkasaan syarikat Bumiputera turut kekal sebagai antara teras program GEAR-uP apabila GLIC menyalurkan RM1.3 bilion kepada syarikat Bumiputera.
Pada masa sama, GLC dan PETRONAS merekodkan perolehan hampir RM49 bilion daripada perniagaan Bumiputera bagi tempoh 2022 hingga 2025.
Usaha berkenaan melengkapi strategi GEAR-uP untuk bukan sahaja menyediakan modal, tetapi turut membangunkan keupayaan syarikat supaya mampu meningkatkan daya saing dan berkembang ke pasaran lebih luas.
Melangkah ke hadapan, pendekatan itu dijangka terus memperkukuh saluran pertumbuhan syarikat tempatan menerusi hubungan lebih tersusun antara modal teroka, pembiayaan pertumbuhan dan peluang pelaburan seterusnya.