
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) terus mengekalkan momentum pertumbuhan apabila mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 1.2 peratus kepada RM1.94 bilion bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026.
- Pertumbuhan menyeluruh merentasi semua segmen perniagaan menyokong momentum prestasi kumpulan.
- Pulang atas purata ekuiti meningkat 20 mata asas suku ke suku kepada 11.2 peratus.
- Perbankan borong menunjukkan pertumbuhan paling kukuh, dipacu oleh pusat data dan kecerdasan buatan.
- Pendapatan kumpulan meningkat dipacu NII dan NOII; fokus separuh kedua pada pertumbuhan aset, pinjaman, dan kecekapan melalui Forward30.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, prestasi positif itu didorong pertumbuhan menyeluruh merentasi semua segmen perniagaan kumpulan.
Menurutnya, prestasi berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan pulangan tahunan atas purata ekuiti (return on average equity atau ROE) sebanyak 20 mata asas suku ke suku kepada 11.2 peratus.
Beliau berkata, segmen perbankan borong mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh berbanding segmen perbankan pengguna dan komersial.
“Dari segi segmen, pertumbuhan dalam perbankan borong jauh lebih kukuh berbanding segmen pengguna dan komersial. Segmen perbankan borong menunjukkan prestasi yang sangat kukuh bagi kami.
“Dalam segmen itu, bidang berkaitan pusat data dan kecerdasan buatan (AI) menunjukkan pertumbuhan yang sangat kukuh. Bidang-bidang ini merupakan antara kawasan yang menyumbang pertumbuhan besar kepada kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai prestasi kewangan CIMB bagi suku kedua tahun ini, hari ini.
Sementara itu, jumlah pendapatan kumpulan meningkat 2.8 peratus suku ke suku kepada RM5.56 bilion, didorong oleh pertumbuhan pendapatan faedah bersih (net interest income atau NII) serta pendapatan bukan faedah (non-interest income atau NOII).
Novan berkata, prestasi suku kedua itu turut mencerminkan pelaksanaan berterusan strategi Forward30 serta kekuatan francais CIMB dalam mengharungi perubahan landskap ekonomi dan perniagaan.
“Perubahan struktur di seluruh ASEAN, yang dipengaruhi oleh dinamik geopolitik yang semakin berubah serta bagaimana AI mengubah industri, memberikan kami peluang baharu untuk pertumbuhan,” katanya.
Mengulas prospek bagi separuh kedua tahun ini, beliau berkata, fokus CIMB adalah untuk mengekalkan pertumbuhan aset dan pinjaman yang kukuh, disokong oleh saluran pinjaman yang sihat.
Selain itu, CIMB akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh pelaksanaan strategi merentasi pemacu utama pertumbuhan kumpulan.