
KUALA LUMPUR, 1 November – Malaysia Airlines Bhd (MAB) memberi jaminan bahawa sistem teknologi maklumat (IT) miliknya tidak terjejas, susulan insiden keselamatan siber melibatkan Amadeus, penyedia teknologi tempahan penerbangan pihak ketiga syarikat penerbangan itu.
- Tiada bukti maklumat kewangan diakses melalui sistem MAB.
- Insiden mungkin menjejaskan maklumat pelanggan tertentu diproses melalui Amadeus antara Ogos 2023 hingga September 2026.
- MAB sedang bekerjasama rapat dengan Amadeus dan pihak berkaitan untuk menyiasat dan menilai kesan insiden ini.
- MAB menegaskan privasi pelanggan keutamaan dan akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut apabila maklumat lebih terperinci diperoleh.
MAB memaklumkan, setakat ini tiada bukti yang menunjukkan maklumat kewangan telah diakses menerusi sistem miliknya.
”Bagaimanapun, insiden berkenaan berkemungkinan menjejaskan maklumat pelanggan tertentu yang diproses melalui Amadeus antara Ogos 2023 hingga September 2026,” menurut kenyataan MAB yang disiarkan di laman webnya pada Sabtu.
MAB memandang serius perkara itu dan sedang bekerjasama rapat dengan Amadeus serta pihak berkaitan bagi menyiasat insiden itu dan menilai kesannya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pelanggan turut dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang komunikasi yang mencurigakan atau tidak diminta, khususnya yang meminta maklumat peribadi atau kewangan.
Syarikat penerbangan nasional itu menegaskan, privasi dan perlindungan maklumat pelanggan kekal menjadi keutamaan.
Pihaknya akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut apabila mendapat maklumat yang lebih terperinci.