Pengguna CIMB OCTO boleh DuitNow QR di sembilan negara

Haniz Nazlan / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 November – Kemudahan pembayaran rentas sempadan DuitNow QR menerusi aplikasi CIMB OCTO diperluas ke lima negara baharu iaitu China, Hong Kong, Korea Selatan, Filipina dan Laos.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memudahkan urusan transaksi pelanggan ketika berada di luar negara.
  • Inisiatif dilaksanakan menerusi kerjasama Payments Network Malaysia (PayNet) dengan Ant International.
  • Pelanggan boleh imbas kod QR peniaga yang memaparkan logo Alipay+ tanpa muat turun aplikasi lain atau buka akaun berasingan.
  • Sehingga September 2026, transaksi rentas sempadan menerusi DuitNow QR OCTO melebihi 500,000, meningkat lebih 150 peratus.

Peluasan itu menjadikan kemudahan berkenaan kini boleh digunakan di sembilan negara, termasuk empat pasaran sedia ada iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Haniz Nazlan menyatakan, peluasan berkenaan bertujuan memudahkan urusan transaksi pelanggan, khususnya ketika berada di luar negara.

“Inisiatif dilaksanakan menerusi kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dengan Ant International.

“Kemudahan itu membolehkan pelanggan mengimbas kod QR peniaga yang memaparkan logo Alipay+ tanpa perlu memuat turun aplikasi lain atau membuka akaun berasingan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, langkah tersebut selaras strategi Forward30 CIMB untuk menyediakan pengalaman perbankan yang lebih baik dan pantas, termasuk merentasi sempadan.

“Pada masa sama, peluasan kemudahan DuitNow QR ini turut melengkapi penawaran berkaitan perjalanan dalam aplikasi OCTO, termasuk CIMB Travel Currency dan insurans perjalanan,” katanya.

Setakat September 2026, transaksi rentas sempadan menerusi DuitNow QR OCTO melebihi 500,000, meningkat lebih 150 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.