FAMA, Maybank Islamic meterai kerjasama perkukuh usahawan agromakanan

Foto BERNAMA

SERDANG, 28 Ogos – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memperkukuh pembangunan usahawan agromakanan menerusi pembukaan Segmen Agribusiness bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • FAMA dan Maybank Islamic memeterai Memorandum Persefahaman untuk memperkukuh sokongan kepada usahawan agromakanan.
  • Kerjasama menyediakan pembiayaan, penyelesaian kewangan, pembangunan kapasiti, pensijilan halal, peluasan akses pasaran dan transformasi digital.
  • Sokongan khusus untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana agromakanan serta pelaksanaan Program Global Export (GLOBEX) bagi platform digital dan B2B.
  • FAMA menyelaraskan pembangunan usahawan melalui khidmat nasihat, pemudah cara pensijilan halal dan akses pasaran domestik serta antarabangsa.

Bertemakan “Rasa Malaysia: Cita Rasa Lokal ke Global”, segmen berkenaan menjadi platform bagi mengetengahkan rantaian perniagaan agromakanan, bermula daripada pengeluaran hasil pertanian hingga ke pemasaran di peringkat antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang hadir melancarkan pembukaan segmen itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara FAMA dengan Maybank Islamic Berhad.

Kerjasama strategik itu dijangka memperkukuh pembangunan usahawan menerusi penyediaan pembiayaan dan penyelesaian kewangan, pembangunan kapasiti, pensijilan halal, peluasan akses pasaran serta transformasi digital.

Selain itu, kerjasama berkenaan turut menyokong pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor agromakanan secara lebih mampan, sekali gus membuka peluang kepada pelaksanaan Program Global Export (GLOBEX) yang menggalakkan penggunaan platform pemasaran digital dan perniagaan Business-to-Business (B2B).

Dalam masa sama, FAMA akan menyelaras aspek pembangunan usahawan termasuk menyediakan khidmat nasihat, menjadi pemudah cara dalam pemerolehan pensijilan halal serta menyediakan akses kepada pasaran domestik dan antarabangsa.

Sebanyak 141 reruai membabitkan 131 usahawan tempatan menyertai segmen berkenaan yang menyasarkan kehadiran 200,000 pengunjung serta nilai jualan RM4 juta sepanjang 10 hari penganjuran MAHA 2026.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin serta Pengerusi FAMA, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.