
PETALING JAYA, 8 September – Kerajaan wajar memperkenalkan insentif menerusi Belanjawan 2027 bagi menggalakkan pelaburan dalam kecekapan tenaga dan pembangunan tenaga boleh baharu (TBB).
- Kecekapan tenaga perlu diberi perhatian lebih besar kerana ia penting kepada keseluruhan sistem tenaga negara.
- Insentif diperlukan untuk menarik pelaburan dalam kecekapan tenaga yang sering dianggap kurang menarik.
- Insentif juga wajar bagi mempercepat pembangunan tenaga boleh baharu dan galakkan pelaburan swasta untuk kukuhkan sistem elektrik.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh berkata, kecekapan tenaga perlu diberikan perhatian lebih besar kerana aspek itu penting kepada keseluruhan sistem tenaga negara.
Menurutnya, insentif diperlukan bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam kecekapan tenaga yang sering dianggap kurang menarik berbanding sektor lain.
“Saya berharap kerajaan akan memasukkan inisiatif, insentif atau langkah dalam Belanjawan 2027 bagi menggalakkan kecekapan tenaga.
“Biasanya, ramai tidak berminat untuk melabur dalam kecekapan tenaga kerana menganggapnya tidak begitu menarik. Oleh itu, pada pandangan saya, kecekapan tenaga benar-benar perlu diberikan insentif,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Energy Regulatory Insights (ERI) 2026 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan turut disaran mempertimbangkan insentif bagi mempercepat pembangunan TBB, termasuk menggalakkan pihak berkemampuan melabur dalam kemudahan TBB sendiri.
Katanya, pelaburan sedemikian bukan sahaja memberi manfaat kepada pemilik kemudahan, malah membantu memperkukuh keseluruhan sistem elektrik negara.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini.