Eksport Malaysia cecah RM1.165 trilion dalam tempoh tujuh bulan

Gambar hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 8 September – Eksport Malaysia meningkat 29.2 peratus kepada RM1.165 trilion bagi tujuh bulan pertama 2026, didorong prestasi kukuh sektor elektrik dan elektronik (E&E) susulan permintaan tinggi terhadap semikonduktor, infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah perdagangan berkembang 24.7% kepada RM2.16 trilion, manakala lebihan dagangan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM170.50 bilion.
  • Sektor elektrik dan elektronik menyumbang hampir separuh eksport, dengan ASEAN, AS, China, Kesatuan Eropah dan Taiwan sebagai pasaran utama.
  • MATRADE memperkukuh bantuan kepada PMKS melalui misi eksport berjaya ke Kemboja, inisiatif Malaysia-China Gateway dan persiapan MIHAS 2026.

Jumlah perdagangan negara turut berkembang 24.7 peratus kepada RM2.16 trilion dalam tempoh sama, manakala lebihan dagangan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM170.50 bilion.

Sektor E&E menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan eksport negara, dengan ASEAN, Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah dan Taiwan kekal sebagai antara pasaran utama.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata prestasi itu perlu diterjemahkan kepada peluang pasaran dan hasil komersial yang lebih besar kepada syarikat tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata antara usaha terbaharu MATRADE ialah Misi Akselerasi Eksport ke Kemboja pada bulan lepas yang menjana jualan RM186 juta, mengatasi sasaran RM100 juta.

Misi yang melibatkan 26 syarikat Malaysia itu turut menghasilkan 260 sesi padanan perniagaan selain membuka peluang pemasaran produk tempatan menerusi platform e-dagang di Kemboja.

Dalam pada itu, beliau berkata MATRADE akan memperluas akses pasaran menerusi Malaysia-China Gateway Initiative (MCGi) bagi membantu syarikat tempatan memenuhi keperluan kawal selia pasaran China.

Menurut beliau, inisiatif itu penting bagi membantu lebih banyak syarikat Malaysia menembusi pasaran China secara lebih tersusun dan berdaya saing.

Pada masa sama, MATRADE giat membuat persiapan bagi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 26 September ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.