Malaysia jangka kapasiti penjanaan gas 9GW menjelang 2032 – Akmal Nasrullah

Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 8 Sept – Malaysia dijangka mempunyai kapasiti penjanaan elektrik berasaskan gas sekitar sembilan gigawatt (GW) menjelang 2032 bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perancangan tenaga menumpukan pengurangan kebergantungan arang batu, dengan loji arang batu terakhir dijangka ditamatkan operasi pada 2044.
  • Pengurusan permintaan dan kecekapan tenaga diberi keutamaan untuk memastikan bekalan elektrik mencukupi, mampu milik, selamat dan mampan.
  • Reformasi tenaga fokus kepada pasaran lebih kompetitif, grid moden dan pintar serta pelaksanaan NEEAP 2.0 untuk kurangkan permintaan tenaga.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kapasiti berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan negara dalam mengurus keperluan elektrik, susulan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu.

Katanya, loji janakuasa arang batu terakhir di negara ini dijangka ditamatkan operasinya pada 2044.

Beliau berkata permintaan elektrik terus meningkat, antaranya didorong pertambahan penduduk serta perkembangan sektor yang menggunakan tenaga dalam jumlah tinggi, termasuk pusat data.

“Dari segi unjuran permintaan tenaga, sememangnya kita melihat corak peningkatan. Pertama, disebabkan pertambahan penduduk.

“Kedua, terdapat peningkatan penggunaan tenaga oleh sektor yang mempunyai penggunaan tinggi seperti pusat data,” katanya kepada pemberita selepas Energy Regulatory Insights 2026 di sini, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata keadaan cuaca dan perubahan iklim turut mempengaruhi corak permintaan tenaga, khususnya apabila suhu lebih tinggi meningkatkan keperluan terhadap sistem penyejukan dan penghawa dingin.

Sehubungan itu, beliau berkata pengurusan permintaan tenaga perlu diberi perhatian seiring usaha memastikan bekalan elektrik mencukupi.

“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Malaysia perlu terus berdisiplin untuk memastikan sistem kita sentiasa dinaik taraf, bukan sahaja dari segi kuasa yang dijana, tetapi juga grid dan infrastruktur, supaya sistem kita kekal mampu milik, selamat dan mampan,” katanya.

Menurutnya, perancangan tenaga tidak seharusnya tertumpu kepada penambahan kapasiti penjanaan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kecekapan dan penjimatan tenaga.

Beliau berkata penyelarasan antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Suruhanjaya Tenaga (ST) diperlukan bagi memastikan pengurusan permintaan tenaga terus mengambil kira agenda kelestarian serta usaha mengurangkan jejak karbon sektor berkenaan.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata fasa seterusnya reformasi tenaga negara memberi tumpuan kepada tiga keutamaan, termasuk membangunkan pasaran tenaga yang lebih kompetitif dan progresif dengan peraturan jelas serta akses yang telus.

Katanya, peningkatan kapasiti penjanaan perlu disokong grid yang moden, pintar, selamat dan fleksibel bagi meningkatkan kecekapan sistem serta menyokong pertumbuhan ekonomi.

Pada masa sama, beliau berkata kecekapan tenaga perlu dilihat sebagai sumber tenaga penting kerana mampu mengurangkan kos operasi, mengurangkan tekanan terhadap sistem dan memperkukuh daya saing.

Beliau berkata Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (NEEAP) 2016–2025 berjaya menghasilkan penjimatan elektrik terkumpul sebanyak 60,886 gigawatt-jam, bersamaan penjimatan kos RM16.1 bilion.

Di bawah NEEAP 2.0, Malaysia menyasarkan pengurangan permintaan tenaga sebanyak 11.6 peratus berbanding senario penggunaan tenaga seperti biasa menjelang 2035, yang dijangka dapat mengurangkan kos tenaga, tekanan terhadap sistem serta menyokong aktiviti ekonomi yang lebih produktif dan berdaya saing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.