MAG perluas capaian pasaran serantau menerusi kerjasama pelancongan ASEAN

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 September – Malaysia Airlines dan Firefly memperkukuh kerjasama dengan persatuan industri pelancongan utama di ASEAN bagi memperluas capaian pasaran serta mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk ke Asia dan destinasi antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • MAG bekerjasama dengan rakan industri di Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina melalui pemasaran bersama, penglibatan perdagangan dan inisiatif pengguna.
  • Inisiatif dijangka merangsang permintaan perjalanan, membuka peluang pasaran baharu serta memperkukuh rangkaian pelancongan dan penerbangan serantau.
  • MAG memperbaharui perjanjian tiga tahun dengan MATTA, dilantik Rakan Penerbangan NATAS, bekerjasama dengan ASTINDO, Firefly dan menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.

Kerjasama di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) itu membabitkan rakan industri di Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina menerusi pemasaran bersama, penglibatan perdagangan serta inisiatif pengguna.

Menerusi kenyataan, MAG memaklumkan, langkah itu dijangka membantu merangsang permintaan perjalanan, membuka peluang pasaran baharu serta memperkukuh rangkaian pelancongan dan penerbangan serantau.

Ketua Pegawai Komersial Airlines MAG, Dersenish Aresandiran berkata, kerjasama antara persatuan pelancongan utama ASEAN mampu meningkatkan kesalinghubungan serta mewujudkan lebih banyak peluang perjalanan menerusi Kuala Lumpur.

Di Malaysia, MAG memperbaharui perjanjian kerjasama dengan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, MATTA untuk tempoh tiga tahun, dengan MAG terus menjadi Rakan Penerbangan Rasmi dan Penaja Premier MATTA Fair.

Di Singapura, MAG dilantik sebagai Rakan Penerbangan Pilihan NATAS, manakala di Indonesia, kerjasama dengan ASTINDO turut melibatkan Firefly bagi mempromosikan produk dan destinasi serantau di beberapa bandar terpilih.

Kerjasama turut diperluas ke Thailand menerusi Pameran Pelancongan Antarabangsa Thailand dan ke Filipina melalui Travel Madness Expo, bagi menyokong promosi destinasi serta meningkatkan peluang perjalanan dan perniagaan.

Malaysia Airlines pada masa sama akan terus menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan bekerjasama bersama pemain industri bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan serta memperkukuh hubungan perjalanan di rantau Asia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.