Belanjawan 2027: PMKS perlukan sistem cukai lebih mudah dan pintar

Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 24 September – Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada usaha mempermudah sistem percukaian dan mengurangkan beban pematuhan, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Peralihan kepada pentadbiran cukai pintar, termasuk konsep Satu Pembayar Cukai, Satu Paparan Pematuhan bagi memudahkan pemahaman kewajipan pematuhan.
  • Gunakan data MyTax, MyInvois dan MITRS untuk kurangkan dokumen berulang, percepat semakan dan laksanakan audit berasaskan risiko.
  • Pelaksanaan e-Invois mesti disesuaikan mengikut saiz perniagaan, serta tawarkan penyelesaian murah, mudah dan praktikal untuk PMKS.
  • Belanjawan wajar fokus insentif kepada pertumbuhan, produktiviti, pendigitalan dan pelaburan semula, sambil meluaskan asas cukai tanpa naik kadar.

Pakar Percukaian Fellow Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space Services, Dr Mohd Fairuz A Razak berkata, pendigitalan perlu diperkukuh menerusi sistem percukaian lebih pintar yang memudahkan pembayar cukai memahami kewajipan dan status pematuhan mereka.

“Persoalannya bukan lagi sama ada kita perlu melakukan pendigitalan, tetapi selepas pendigitalan, apakah langkah seterusnya. Kita perlu beralih daripada pentadbiran cukai digital kepada pentadbiran cukai pintar, termasuk memperkenalkan konsep ‘Satu Pembayar Cukai, Satu Paparan Pematuhan’.

“Apabila syarikat log masuk ke sistem MyTax, mereka dapat melihat dengan jelas perkara yang telah diselesaikan, perkara yang masih perlu dipatuhi dan tarikh akhir pematuhannya,” katanya menerusi hantaran video kepada RTM.

Beliau berkata, penggunaan data daripada platform MyTax, MyInvois dan MITRS wajar dimanfaat bagi mengurangkan dokumen berulang, mempercepat proses semakan serta melaksana audit berasaskan risiko.

Menurutnya, kerajaan juga perlu memastikan pelaksanaan e-Invois bersesuaian mengikut saiz perniagaan, selain menyediakan penyelesaian yang murah, mudah dan praktikal kepada PMKS.

Dalam aspek insentif, beliau berkata Belanjawan 2027 wajar memberi tumpuan kepada insentif yang mendorong pertumbuhan, produktiviti, pendigitalan dan pelaburan semula, bukan sekadar pengurangan cukai.

Beliau turut mencadangkan supaya struktur cukai PMKS diteliti bagi mengelak peningkatan mendadak kos cukai dan pematuhan apabila perniagaan melepasi ambang tertentu.

Beliau berkata, sistem percukaian perlu memperluas asas cukai dengan menggalakkan perniagaan mikro dan pekerja gig memasuki ekonomi formal menerusi proses pendaftaran dan pematuhan yang lebih mudah.

Katanya, langkah berkenaan dapat meningkatkan hasil negara tanpa bergantung semata-mata kepada kenaikan kadar cukai, sebaliknya melalui peluasan ekonomi formal, peningkatan produktiviti dan pengurangan ketirisan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.