BCI RAM merosot akibat konflik Asia Barat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) RAM merosot bagi suku kedua 2026 didorong impak daripada konflik ketenteraan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua subindeks menyusut, terutama jualan, keuntungan dan pelaburan modal.
  • Tekanan kos kini kebimbangan utama; hampir 68 peratus syarikat menyatakan ia cabaran utama.
  • Gangguan rantaian bekalan melonjak dua kali ganda kepada 18 peratus; kos logistik, bahan mentah dan tenaga terjejas.
  • 82 peratus firma alami kenaikan kos; 51% naikkan harga, 49% menyerap, operasi diubah, pengambilan ditangguh.

RAM Holdings Berhad (RAM Holdings) dalam kenyataan memaklumkan, indeks keseluruhan susut kepada 33.4 mata pada suku kedua berbanding 42.2 mata pada suku sebelumnya, menandakan sentimen pesimis bagi prospek perniagaan untuk dua suku berturut-turut.

Kemerosotan sentimen secara menyeluruh itu melibatkan semua subindeks, khususnya indikator jualan, keuntungan, serta pelaburan modal.

”Tinjauan yang dijalankan antara 10 hingga 25 Jun 2026 mendedahkan bahawa tekanan kos kembali menjadi kebimbangan utama, dengan hampir 68 peratus syarikat yang ditinjau menyatakannya sebagai cabaran utama berbanding 57 peratus pada suku pertama.

”Kebimbangan terhadap kelemahan keadaan ekonomi pula susut kepada 66 peratus berbanding 71 peratus sebelum ini, manakala isu gangguan rantaian bekalan melonjak lebih dua kali ganda kepada 18 peratus berbanding hanya 8 peratus pada suku pertama,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, 82 peratus firma melaporkan peningkatan kos akibat konflik tersebut, dengan hampir separuh daripadanya mengalami lonjakan kos sebanyak 10 peratus atau lebih.

Kos logistik dan perkapalan merupakan komponen paling terjejas menurut 69 peratus responden, diikuti oleh kos bahan mentah serta kos bahan api dan tenaga masing-masing sebanyak 64 peratus dan 50 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif RAM Holdings Berhad, Chris W.K. Lee berkata, ketegangan di Asia Barat telah memberi impak langsung kepada peningkatan kos perniagaan melalui saluran rantaian bekalan, logistik, dan tenaga.

”Gangguan berterusan di Selat Hormuz dijangka akan terus memberi tekanan kos pada masa hadapan. Justeru, bantuan berterusan masih diperlukan bagi membantu syarikat menyesuaikan operasi,” tambah kenyataan itu.

Komuniti perniagaan mengambil strategi berbeza dalam mendepani kenaikan kos dengan 51 peratus responden memilih untuk memindahkan sebahagian kos tambahan kepada pelanggan melalui kenaikan harga jualan, manakala 49 peratus lagi menyerap peningkatan kos demi mengekalkan daya saing pasaran.

Selain pelarasan harga, 45 peratus firma melakukan perubahan operasi dan 25 peratus lagi memilih untuk menangguhkan pengambilan pekerja baharu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.